Adakah carvedilol lebih berkesan atau lebih selamat daripada tradisional, penghalang-beta tidak selektif bagi mereka dengan sirosis dan varises gastroesofagus?

Latar belakang

Sirosis adalah masalah hati kronik yang mengakibatkan peningkatan kekakuannya. Akibat kekakuan yang meningkat, tekanan di dalam saluran darah mengalir ke hati - sistem portal - meningkat. Tekanan darah portal yang meningkat menyebabkan pengembangan pembuluh darah yang luar biasa atau vena varikos pada perut dan esofagus (varises gastroesofagus). Varises ini boleh pecah dan mengakibatkan pendarahan yang boleh mengancam nyawa. Ubat yang mengurangkan tekanan darah portal dapat membantu menguraikan varises gastroesofagus dan dengan itu mengurangkan risiko pendarahan. Ubat-ubatan yang paling kerap digunakan dipanggil penghalang-beta tidak selektif. Dadah baru, carvedilol, juga merupakan penghalang beta tetapi mempunyai tindakan tambahan dan mungkin lebih berkesan untuk mengurangkan tekanan portal seterusnya risiko pendarahan varisel.

Soalan ulasan

Kami mengkaji kesan dan keselamatan carvedilol pada pesakit dengan sirosis dan varises gastroesofagus dengan mengkaji kajian klinikal di mana peserta ditempatkan secara rawak untuk rawatan carvedilol atau penghalang-beta tradisional.

Tarikh carian

Mei 2018

Sumber pembiayaan kajian

Dua daripada 11 kajian klinikal rawak yang dimasukkan dalam ulasan itu tidak menerima pembiayaan atau dana syarikat farmaseutikal lain. Dua menerima bantuan kewangan daripada syarikat farmaseutikal manakala tiga lagi menerima bekalan ubat-ubatan kajian secara percuma. Empat kajian tidak memberikan maklumat pembiayaan.

Ciri-ciri kajian

Kami melibatkan 11 kajian klinikal rawak, tetapi hanya dapat mengumpulkan maklumat yang melibatkan 10 kajian dengan 810 peserta dalam analisis kami. Tempoh rawatan adalah antara satu minggu hingga 30 bulan

Keputusan utama

Analisis kami mendapati kesan carvedilol tidak memberikan perbezaan pada kadar kematian, pendarahan atau komplikasi yang serius dan tidak serius berbanding penghalang-beta tidak selektif. Carvedilol menurunkan tekanan portal dengan lebih berkesan daripada penghalang-beta tradisional, tetapi tidak meningkatkan bilangan peserta yang tekanannya berkurang cukup untuk mengurangkan risiko pendarahan.

Kualiti bukti

Kami mengelaskan bukti sebagai kualiti rendah atau sangat rendah, jadi kajian lanjutan diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah, Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information