Penambah susu (galaktogog) bagi ibu-ibu yang menyusu bayi sihat mereka yang dilahirkan cukup bulan

Apakah masalahnya?

Kami berusaha untuk menentu kemampuan agen penambah susu yang diambil melalui mulut (ubat, herba atau makanan) untuk meningkatkan pengeluaran susu dalam ibu-ibu yang menyusu bayi sihat yang lahir cukup bulan. Kekurangan bekalan susu sering diberi sebagai alasan untuk memberi suplemen awal dan menghentikan penyusuan lebih awal dari apa yang diinginkan. Pelbagai faktor, termasuklah kesihatan ibu dan bayi, keupayaan bayi untuk menghisap, pelakap yang betul dan kekerapan penyusuan, boleh mempengaruhi penghasilan susu. Setiap usaha patut dilakukan terlebih dahulu bagi mengenalpasti dan membetulkan faktor penghasilan susu yang rendah sebelum mencuba agen penambah susu.

Mengapakah ini penting?

Kekurangan penghasilan susu boleh membimbangkan ibu dan mengancam kesihatan bayi. Pilihan agen penanmbah susu sering dipengaruhi oleh kebiasaan atau adat tempatan. Sesetengah ibu mungkin lebih menyukai ubat, manakala yang lain lebih menyukai rawatan semula jadi. Bukti untuk kemungkinan manfaat dan kemudaratan agen penambah susu adalah penting bagi membantu ibu-ibu membuat keputusan yang tepat.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami mencari bukti dari kajian rawak terkawal hingga 4 November 2019 dan mengenal pasti 41 kajian yang sesuai. Kajian-kajian ini melibatkan 3005 ibu dan 3006 bayi dari sekurang-kurangnya 17 negara. Kajian-kajian tersebut amat berbeza dari segi usia bayi, jenis agen penambah susu yang dikaji, tempoh ianya diberi, dan cara hasil-hasil kajian dilaporkan. Ubat-ubatan yang dikaji termasuk sulpiride, metoclopramide, domperidone dan hormon pembebas tirotropin (thyrotropin-releasing hormone). Intervensi semulajadi termasuk bunga pisang, jintan hitam (fennel), halba (fenugreek), halia, ixbut, kapas levant, kelor (moringa), kurma, daging babi, shatavari, silymarin, daun torbangun, serta pelbagai jenis campuran semulajadi seperti teh atau sup.

Ubat penambah susu

Sembilan kajian membandingkan ubat penambah susu dengan plasebo atau tanpa rawatan. Tiada kajian melaporkan kadar penyusuan susu ibu pada 3, 4 atau 6 bulan. Hanya satu kajian dimana bayi hanya menerima susu ibu (metoclopramide, 20 orang peserta) melaporkan kenaikan berat badan bayi yang lebih baik dalam kumpulan ubat penambah susu. Tiga kajian yang mengikuti jumlah susu yang dihasilkan (domperidone, metoclopramide, sulpiride; 151 peserta) melaporkan lebih banyak susu dalam kumpulan yang menerima agen penambah susu, tetapi kepastian buktinya adalah rendah. Kesan-kesan buruk tidak dilaporkan dengan baik. Kesan-kesan buruk, apabila dilaporkan, adalah terhad kepada aduan yang ringan seperti keletihan, loya, kekurangan selera, sakit kepala dan mulut kering.

Agen penambah susu semulajadi

Dua puluh tujuh kajian membandingkan agen penambah susu semulajadi dengan plasebo atau tanpa rawatan. Hanya satu kajian (Mother’s Milk Tea; 60 peserta) menilai kesan terhadap kadar penyusuan susu ibu dan melaporkan “tiada perbezaan ketara pada 6 bulan” tanpa menyediakan sebarang data (kepastian bukti sangat rendah). Tiga kajian (275 peserta) melaporkan berat badan bayi, di mana dua kajian (moringa, teh campuran botanikal) melaporkan penambahan beratl yang lebih tinggi dalam kumpulan agen penambah susu, manakala kajian selebihnya (fennel dan fenugreek) tidak menunjukkan sebarang keputusan sama ada berat bayi meningkat dengan agen penambah susu. Daripada 13 kajian yang menilai perubahan jumlah susu (Bu Xue Sheng Ru, Chan Bao, Cui Ru, bunga pisang, halba, halia, kelor, campuran halia dengan kunyit, ixbut, teh botani campuran, Sheng Ru He Ji, silymarin, Xian Tong Ru, kurma; 962 peserta), sebahagian menunjukkan faedah dan sebahagian lagi menunjukkan hanya sedikit atau tiada perbezaan. Oleh itu, kami tidak pasti tentang keputusan mengenai jumlah susu. Kesan-kesan buruk tidak dilaporkan dengan baik. Kesan-kesan buruk, apabila dilaporkan, adalah terhad kepada aduan ringan seperti bau kencing ibu seperti sirap maple dan ruam pada bayi (kepastian bukti yang sangat rendah).

Perbandingan satu agen penambah susu dengan yang lain

Lapan kajian (Chanbao, Bue Xue Sheng Ru, domperidone, kelor, halba, kurma, torbangun, moloco, Mu Er Wu You, Kun Yuan Tong Ru) membandingkan satu agen penambah susu dengan yang lain. Terdapat hanya satu kajian kecil untuk setiap pembandingan. Oleh itu, kami tidak dapat memastikan sama ada satu penambah susu berfungsi lebih baik daripada yang lain.

Apakah maksudnya?

Tedapat bukti terhad untuk menunjukkan bahawa ubat penambah susu mungkin meningkatkan jumlah susu dan agen penanmbah susu semulajadi mungkin meningkatkan jumlah susu serta berat badan bayi, tetapi kami sangat tidak yakin terhadap bukti sokongan. Disebabkan maklumat yang terhad, kami juga tidak pasti sama ada terdapat apa-apa risiko kepada ibu atau bayi semasa mengambil sesuatu agen penambah susu. Lebih banyak kajian berkualiti tinggi diperlukan untuk meningkatkan kepastian kami mengenai kesan agen penambah susu.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Denise Chai (RCSI-UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Tan May Loong (RCSI-UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save