Adakah proktogram evakuasi masih merupakan standard rujukan untuk diagnosis gangguan lantai pelvis posterior dalam wanita dengan gejala penyahtinjaan terhalang?

Isunya

Gejala penyahtinjaan terhalang adalah perasaan tersumbat semasa percubaan untuk membuang air besar, perasaan membuang air besar yang tidak lengkap, atau keperluan untuk menggunakan jari untuk menyempitkan perineum/vagina atau dimasukkan ke dalam rektum untuk mengeluarkan najis. Ini boleh menyebabkan rasa malu dan kecewa, mengakibatkan kesan buruk terhadap kualiti hidup. Teknik-teknik pengimejan yang berbeza wujud untuk memeriksa wanita dengan gejala-gejala ini. Teknik yang paling biasa dilakukan pada masa ini dipanggil proktografi evakuasi (EP). Ujian ini boleh menyebabkan rasa malu, kerana ia memerlukan seorang wanita memasukkan sejumlah besar bahan seperti bubur ke dubur dan kemudian dia perlu duduk di atas komod dan membuang air besar sementara imej X-ray diambil oleh ahli radiologi.

Mengapakah ulasan ini penting?

Teknik pengimejan lain untuk menilai wanita dengan gejala ini ada, dan kebanyakannya kurang memalukan. Walau bagaimanapun, masih tidak jelas seberapa baik teknik-teknik pengimejan ini untuk mendiagnosis keadaan yang menyebabkan gejala-gejala ini. Bagi membolehkan menyediakan bukti untuk potensi penggunaan teknik-teknik pengimejan yang kurang memalukan ini, data sedia ada dari kajian-kajian yang telah diterbitkan sebelumnya melaporkan ketepatan (kebolehan untuk mengesan dan mengecualikan gangguan tertentu) teknik-teknik pengimejan ini perlu dianalisis.

Bagaimanakah ulasan ini dijalankan?

Kami mencari penulisan sedia ada pada 18 Disember 2019. Kami memilih kajian-kajian yang menilai prestasi pengimejan resonans magnetik (MRI) atau ultrasound lantai pelvis, atau kedua-duanya, dan EP dalam wanita-wanita dengan gejala penyahtinjaan terhalang. Kami menilai kualiti kajian-kajian yang disertakan, serta sumber-sumber yang mungkin mempengaruhi prestasi teknik-teknik pengimejan. Kami menjalankan analisis statistik dengan menilai semua teknik pengimejan sedia ada secara sama, tanpa standard rujukan, untuk mengira ketepatan ujian semua teknik pengimejan yang sedang dinilai.

Apakah penemuannya?

Kami memasukkan 39 kajian melibatkan 2483 wanita dalam meta-analisis. EP didapati mempunyai keupayaan tertinggi untuk mengesan dengan betul kebanyakan keadaan yang menyebabkan gejala penyahtinjaan terhalang; tiada ujian-ujian diagnostik lain yang memenuhi kriteria untuk menggantikan EP. MRI dan ultrasound transperineum (TPUS) memenuhi kriteria untuk ujian triaj. Ia dapat mengenal pasti dengan betul pesakit yang sihat lebih baik berbanding EP. Ini bermakna bahawa keputusan ujian positif menunjukkan kehadiran penyakit, kerana ujian ini jarang memberikan keputusan positif dalam wanita yang sihat, dan mengelakkan ujian lebih lanjut. Keputusan teknik ultrasound yang lain adalah berkualiti bukti yang terlalu rendah untuk membuat kesimpulan.

Apakah maksudnya?

Dalam populasi wanita yang mencari pertolongan untuk gejala penyahtinjaan terhalang mereka, EP kekal menjadi ujian pilihan. MRI dan TPUS boleh digunakan sebagai penilaian awal untuk wanita dengan penyahtinjaan terhalang sebagai ujian saringan. TPUS atau MRI oleh itu berpotensi boleh mengurangkan jumlah wanita yang perlu menjalani EP.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information