Peningkatan dos radiasi untuk glioma malignan

Latar belakang
Ini adalah versi kemaskini Ulasan Cochrane asal yang diterbitkan dalam Isu 8, 2016. Glioma gred tinggi (HGG) ialah tumor (kanser) otak yang cepat berkembang melibatkan sel-sel penyokong sistem saraf, dengan beberapa subjenis seperti glioblastoma (astrocytoma gred IV), astrocytoma anaplastik (gred III) dan oligodendroglioma anaplastik (gred III). Ia mempengaruhi kira-kira 5 dalam 100,000 orang setiap tahun di Eropah dan Amerika Utara. Beberapa kajian telah menyiasat strategi terbaik untuk memberi radiasi kepada orang dengan HGG, ulasan ini menilai kajian-kajian tersebut untuk melihat penemuan mereka. Akibat ketoksikan, radiasi tidak diberi semuanya dalam sehari. Bagi mengimbangi ketoksikan dan kawalan tumor, dos radiasi lebih kecil diberi untuk beberapa hari.

Radioterapi konvensional melibatkan pemberian dos radiasi harian (dipanggil pecahan) 180 cGy hingga 200 cGy sehari. Radioterapi hipopecahan merujuk kepada penggunaan dos radiasi harian yang lebih tinggi (lebih daripada 200 cGy sehari) yang biasanya mengurangkan bilangan pecahan keseluruhan dan keseluruhan tempoh rawatan.

Radioterapi hiperpecahan merujuk kepada penggunaan dos radiasi harian yang lebih rendah (kurang daripada 180 cGy sehari), bilangan pecahan yang lebih besar dan banyak sehari untuk memberi jumlah dos yang sekurang-kurangnya sama dengan sinaran eksternal harian pecahan radioterapi konvensional (sinaran radiasi yang diarah dari luar badan), dalam tempoh masa yang sama. Tujuan pendekatan ini adalah untuk mengurangkan potensi ketoksikan lewat, yang merupakan kesan sampingan yang berlaku lebih dari 3 bulan selepas rawatan selesai.

Radioterapi dipercepat (peningkatan dos) merujuk kepada pemberian banyak pecahan sehari menggunakan dos radiasi harian yang konsisten dengan sinaran eksternal harian dos radioterapi pecahan konvensional. Tujuannya ialah untuk mengurangkan tempoh rawatan keseluruhan; biasanya, dua atau tiga pecahan sehari boleh diberi dengan enam hingga lapan jam di antara pecahan.

Tujuan ulasan
Untuk mengkaji keberkesanan dan keselamatan peningkatan dos radiasi sinaran eksternal (dos radiasi lebih tinggi) dalam kalangan orang yang baru didiagnos dengan HGG.

Apakah penemuan-penemuan utama?
Kami menemui 11 kajian (1537 peserta dalam kumpulan rawatan yang relevan untuk ulasan ini). Orang dengan prognosis buruk (kebolehjadian pemulihan) secara amnya tidak layak untuk kajian klinikal berdasarkan tahap kesihatan mereka yang buruk. Terdapat manfaat survival keseluruhan bagi orang dengan HGG yang menerima radioterapi konvensional pascabedah (selepas pembedahan untuk membuang sebahagian atau seluruh tumor) berbanding peserta yang menerima penjagaan sokongan selepas pembedahan. Radioterapi hipopecahan punyai keberkesanan survival yang serupa berbanding radioterapi konvensional, terutamanya untuk orang berumur 60 tahun ke atas dengan glioblastoma. Tiada perbezaan jelas dalam kesan-kesan sampingan di antara kumpulan rawatan yang berbeza. Tiada cukup data tentang hasil-hasil lain, iaitu survival bebas progresi (survival tanpa kanser menjadi lebih teruk) dan kualiti hidup di antara kumpulan-kumpulan rawatan yang berbeza ini.

Tiada cukup data tentang hasil-hasil survival, kesan-kesan sampingan, survival bebas progresi dan kualiti hidup untuk radiasi hiperpecahan berbanding radiasi pecahan konvensional dan radiasi dipercepat berbanding pecahan konvensional.

Kepastian bukti
Kepastian bukti adalah sangat rendah hingga tinggi. Sesetengah kajian berisiko bias tinggi kerana tiada butiran tentang bagaimana peserta dibahagikan kepada kumpulan rawatan, bilangan pesakit yang hilang semasa susulan (selepas rawatan) dan kemungkinan pelaporan hasil yang selektif seperti kesan-kesan sampingan.

Hanya lima dari 11 kajian yang disertakan diterbitkan selepas tahun 2000. Kebanyakan kajian yang disertakan dalam analisis diterbitkan sebelum tahun 2000 dan kini dianggap ketinggalan zaman. Kajian yang lebih lama ini tidak membezakan antara pelbagai subjenis HGG, dan mereka menggunakan teknik radioterapi yang ketinggalan zaman seperti radioterapi seluruh otak berbanding radioterapi setempat (disasarkan hanya kepada tumor dan bukan seluruh otak).

Apakah kesimpulannya?
Radioterapi konvensional harian selepas pembedahan memperbaiki survival dalam kalangan dewasa dengan fungsi kesejahteraan yang baik berbanding tiada radioterapi selepas pembedahan. Radioterapi hipopecahan sama berkesan untuk survival berbanding radioterapi konvensional, terutaman untuk orang berumur 60 tahun ke atas dengan glioblastoma. Sejak versi terakhir ulasan ini pada 2016, kami tidak menemui kajian baru yang relevan untuk dimasukkan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information