Intervensi psikologi untuk distres yang berkaitan dengan diabetes dalam kalangan orang dewasa dengan diabetes melitus jenis 2

Soalan ulasan

Untuk menyiasat kesan intervensi psikologi terhadap distres yang berkaitan dengan diabetes dalam kalangan orang dewasa berumur 18 tahun dan ke atas dengan diabetes melitus jenis 2.

Latar belakang

Distres yang berkaitan dengan diabetes ada kaitan dengan pengalaman emosi orang dengan diabetes melitus, iaitu kebimbangan mereka tentang pengurusan penyakit, sokongan, beban emosi dan akses kepada penjagaan kesihatan. Kira-kira separuh daripada pesakit diabetes melitus jenis 2 mengalami distres ini, yang dikaitkan dengan penjagaan diri diabetes dan kawalan penyakit yang teruk. Banyak intervensi psikologi telah cuba mengurangkan distres yang berkaitan dengan diabetes, tetapi adalah tidak pasti intervensi mana yang berkesan.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati 30 kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana orang secara rawak dimasukkan ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) dengan 9177 peserta. Tempoh intervensi adalah dari 1 minggu hingga 12 bulan dan susulan selepas rawatan dari 0 hingga 12 bulan. Kebanyakan kajian berlaku dalam persekitaran komuniti, hampir semua di negara berpendapatan tinggi dan dua di Asia dan Amerika Latin. Kajian-kajian termasuk spektrum intervensi yang luas dan adalah kedua-dua berasakan individu dan kumpulan.

Keputusan utama

Intervensi psikologi mempunyai kesan yang kecil dan positif terhadap keyakinan untuk penjagaan diri dan hemoglobin glikosilasi A1c (HbA1c - ukuran jangka panjang kawalan glukosa) dalam kalangan orang dewasa dengan diabetes jenis 2. Berbanding dengan penjagaan biasa, intervensi psikologi tidak menunjukkan kesan yang kukuh terhadap distres yang berkaitan dengan diabetes, kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan, kematian dari sebarang punca, kesan buruk atau tahap tekanan darah. Tiada kajian yang melaporkan komplikasi yang berkaitan dengan diabetes (seperti strok, serangan jantung atau kerosakan buah pinggang) atau kesan sosioekonomi (seperti tidak hadir bekerja atau kos ubat).

Bukti ini adalah terkini sehingga 21 September 2016.

Kualiti bukti

Secara keseluruhannya, kualiti bukti adalah rendah kerana kajian adalah kecil, data yang hilang, dan batasan dalam reka bentuk dan pelaksanaan kajian-kajian tersebut. Empat kajian sedang menunggu penilaian selanjutnya, dan 18 kajian sedang dijalankan dengan hasil yang akan diterbitkan dalam waktu terdekat.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save