Intervensi untuk merawat sembelit semasa hamil

Apakah isunya?

Istilah ' sembelit ' ditakrifkan sebagai kesukaran untuk membuang najis dan pengurangan kekerapan membuang najis. Ia dicirikan oleh rasa tidakselesa, meneran secara berlebihan, najis yang keras atau berketul, sensasi pembuangan yang tidak lengkap, dan pembuangan najis yang kurang kerap. Sembelit adalah gejala biasa yang dialami semasa hamil. Ini boleh disebabkan oleh gabungan beberapa faktor, termasuk perubahan hormon semasa hamil yang menjejaskan sistem penghadaman, pengurangan aktiviti fizikal dan perubahan dalam tabiat pemakanan ketika hamil. Di samping itu, apabila bayi semakin membesar, ia boleh menekan pada usus ibu dan menyebabkan kelewatan/halangan kepada penghadaman.

Mengapakah ini penting?

Sembelit semasa hamil telah dikaitkan dengan kualiti hidup yang terjejas dan tekanan kepada wanita hamil serta masalah fizikal termasuklah buasir. Terdapat pelbagai rawatan yang dicadangkan dengan penggunaan ubat-ubatan, makanan tambahan atau pengubahsuaian pemakanan.

Secara amnya, intervensi tanpa penggunaan ubat (perubahan dalam diet, pengambilan air dan senaman) adalah disyorkan pada mulanya, diikuti dengan intervensi farmakologi jika intervensi tanpa penggunaan ubat gagal atau tidak mencukupi. Intervensi farmakologi termasuk ubat-ubatan dari pelbagai kelas ubat termasuk pelincir, agen pembentuk pukal, julap osmotik, julap perangsang, pelembut najis, enema dan supositori.

Tinjauan ini melihat kepada manfaat intervensi menggunakan ubat dan bukan ubat dalam merawat sembelit semasa hamil; dan sama ada ia adalah selamat untuk wanita dan bayi.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami telah mengenal pasti empat kajian, tetapi hanya dua kajian (dengan sejumlah 180 wanita) yang menyediakan data untuk dianalisa. Kajian-kajian ini membandingkan ubat julap perangsang dengan julap pembentuk pukal; dan juga membandingkan suplemen serat dalam diet dengan tiada intervensi. Kajian-kajian yang terpilih dinilaikan berada pada kualiti sederhana.

Kami melihat kepada dua perbandingan utama. Pada mulanya, kami mendapati bahawa julap perangsang mungkin lebih berkesan dalam mengatasi sembelit berbanding julap pembentuk pukal (bukti kualiti sederhana) tetapi juga boleh menyebabkan ketidakselesaan abdomen (bukti kualiti rendah) dan cirit-birit (bukti kualiti sederhana) dan kami mendapati tiada perbezaan dalam tahap kepuasan dikalangan pesakit wanita (bukti kualiti sederhana). Walau bagaimanapun, apabila kami mengeluarkan data yang berkaitan dengan intervensi ubat Normax (dioktil sodium sulfosuksinat dan dihidroksi anthrakuinon), yang tidak lagi digunakan secara rutin dalam kehamilan, tidak ada lagi perbezaan yang jelas antara bahan perangsang dan julap pembentuk pukal dari segi ketidakselesaan abdomen dan cirit-birit.

Perbandingan kedua, di antara pengambilan suplemen serat dan tiada intervensi; didapati bahawa pengambilan suplemen serat lebih berkesan dalam meningkatkan kekerapan pembuangan najis (bukti kualiti sederhana). Pengunaan suplemen serat dikaitkan dengan konsistensi najis yang lebih baik seperti yang dijelaskan oleh para pengkaji (najis keras berkurang sebanyak 11% hingga 14%, najis biasa meningkat sebanyak 5% kepada 10%, dan najis lembut meningkat sebanyak 0% kepada 6%).

Tiada kajian yang melihat kepada intervensi menggunakan ubat jenis lain seperti julap osmotik, pelembut najis, julap pelincir dan enema dan supositori.

Apakah maksudnya?

Bukti kecil yang ada menunjukkan bahawa suplemen serat dalam diet boleh meningkatkan kekerapan membuang najis. Jika perlu memilih antara ubat julap perangsang dan julap pembentuk secara pukal, maka julap perangsang boleh melegakan sembelit dengan lebih baik tetapi juga boleh menyebabkan lebih banyak ketidakselesaan dan cirit-birit.

Lebih banyak penyelidikan dalam bidang ini diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah Fakulti Perubatan, UiTM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi mastura.malek78@gmail.com. Disunting oleh Azlan Husin, Universiti Sains Malaysia (azlanh@usm.my)

Tools
Information
Share/Save