Intervensi untuk menangani masalah-masalah fungsi seksual dalam orang dengan penyakit paru-paru obstruktif kronik

Latar belakang

Penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) adalah istilah umum merujuk kepada bronkitis kronik, emfisema, atau kedua-duanya. Orang yang mempunyai COPD dianggap lebih berisiko mengalami masalah fungsi seksual daripada orang lain yang berumur sebaya dengan mereka. Masalah ini termasuk kesukaran mendapatkan atau mengekalkan ereksi (untuk lelaki), mengurangkan keinginan seksual, kesukaran mencapai puncak syahwat, ketidakselesaan semasa seks, kebimbangan tentang prestasi, atau seks yang tidak menyenangkan. Tujuan ulasan ini adalah untuk merumuskan kajian yang menyiasat kesan ubat, bantuan fizikal, intervensi psikologi seperti kaunseling, atau intervensi pendidikan untuk meningkatkan fungsi seksual atau kepuasan seksual orang dengan COPD dan pasangan mereka.

Keputusan

Kami mendapati dua kajian yang diterbitkan sebelum Disember 2014 melibatkan sejumlah 48 orang dengan COPD (lelaki sahaja) yang menerima intervensi perubatan untuk masalah dengan fungsi seksual. Intervensi perubatan termasuklah terapi testosteron dan terapi oksigen. Salah satu kajian memberi bukti yang berkualiti rendah bahawa suntikan testosteron membantu lelaki dengan COPD memperbaiki keupayaan mereka untuk mendapatkan dan mengekalkan ereksi. Walau bagaimanapun, tiada maklumat yang cukup untuk menilai sama ada terapi testosteron memperbaiki kepuasan seksual secara keseluruhan atau mengakibatkan masalah kesihatan lain, atau sama ada terapi oksigen memperbaiki disfungsi erektil untuk lelaki dengan COPD.

Kesimpulan

Pada masa ini, profesional kesihatan perlu bergantung kepada penyelidikan yang melibatkan orang tanpa COPD dan pendapat pakar apabila membuat keputusan mengenai cara terbaik untuk memberi nasihat kepada orang dengan COPD mengenai masalah dengan fungsi seksual atau kepuasan seksual. Lebih banyak penyelidikan perlu dilakukan dalam bidang amalan klinikal ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information