Penggunaan komputer atau teknologi robotik untuk membantu pakar pembedahan dalam menjalankan pembedahan ginekologi

Kajian yang dikemaskini ini pada asalnya diliputi oleh dua ulasan Cochrane berasingan yang berkenaan dengan pembedahan yang dibantu oleh robot untuk penyakit ginekologi benign dan malignan.

Soalan
Pembedahan laparoskopi (lubang kunci) digunakan secara meluas dalam ginekologi. Pembedahan yang dibantu oleh robot (RAS) adalah sejenis pembedahan laparoskopik yang baharu yang membolehkan pakar bedah mengendalikan pembedahan daripada konsol komputer yang terletak jauh daripada pesakit melalui lengan mekanik kawalan jauh yang dipasangkan pada meja pembedahan. RAS telah digunakan dalam pembedahan ginekologi di beberapa buah negara, khususnya untuk histerektomi (pembuangan uterus/rahim), dan telah dilaporkan berguna untuk miomektomi (pembuangan fibroid uterus), anastomosis semula tiub (mencantumkan dua hujung saluran tiub fallopio untuk memulihkan kesuburan), sakrokolpopeksi (yang dijalankan untuk membaiki prolaps vault vagina, apabila bahagian paling atas vagina tergelincir ke bawah), dan prosedur lain untuk penyakit benign (bukan kanser). RAS juga telah digunakan untuk merawat wanita yang menghidapi kanser ginekologi, terutama kanser endometrium (pelapik rahim) dan kanser serviks. Walau bagaimanapun, faedah dan risiko RAS berbanding dengan pendekatan-pendekatan pembedahan yang piawai masih belum jelas diketahui.

Bagaimanakah kami menjalankan ulasan ini
Kami mengenal pasti kajian dengan mencari pangkalan-pangkalan data serta menulis kepada penyelidik yang terlibat dalam kajian berdaftar. Dua penulis ulasan telah menilai kajian-kajian dan mengumpulkan data dari setiap kajian secara berasingan. Kami memasukkan kajian rawak terkawal sahaja. Kami telah mengumpulkan data daripada kajian individu yang serupa di dalam analisis, dan memeriksa pelbagai jenis operasi secara berasingan (histerektomi, sakrokolpopeksi, atau pembedahan untuk endometriosis).

Penemuan-penemuan
Kami telah memasukkan 12 kajian yang melibatkan 1016 wanita yang memerlukan pembedahan untuk penyakit ginekologi. Kajian-kajian mempunyai risiko bias yang sederhana ke tinggi keseluruhannya. Pembedahan yang dilakukan adalah histerektomi (lapan kajian) dan sakrokolpopeksi (tiga kajian). Selain itu, satu kajian telah memeriksa rawatan pembedahan untuk endometriosis, yang melibatkan reseksi atau histerektomi. Kami tidak pasti sama ada RAS atau pembedahan laparoskopik konvensional (CLS) mempunyai kadar komplikasi keseluruhan yang lebih rendah kerana bukti yang diperolehi mempunyai kepastian yang rendah. Terdapat perbezaan yang banyak pada tempoh masa yang diambil untuk menjalankan pembedahan tersebut di kalangan kajian-kajian yang melaporkan hasil ini, maka hasilnya sukar untuk ditafsirkan, dan walaupun bukti menunjukkan bahawa RAS mempunyai tempoh tinggal di hospital yang lebih singkat (satu pertiga hari), kami berpendapat bahawa bukti tersebut mempunyai tahap kepastian yang sangat rendah dan kajian-kajian tersebut mempunyai risiko bias yang tinggi.

Untuk prosedur sakrokolpopeksi, bukti keseluruhan menunjukkan bahawa tiada perbezaan yang jelas dalam kadar apa-apa komplikasi dengan RAS berbanding dengan CLS, tetapi buktinya mempunyai tahap kepastian yang rendah. Hanya satu kajian melaporkan komplikasi selepas operasi, yang lebih kerap berlaku dalam kumpulan RAS (bukti berkepastian rendah). RAS dikaitkan dengan purata peningkatan pada tempoh masa pembedahan sebanyak 40.53 minit di kalangan kumpulan RAS (bukti berkepastian rendah), tetapi keputusan ini mungkin tidak boleh dipercayai, kerana terdapat perbezaan yang banyak di antara kajian. Kami menjumpai bukti berkepastian rendah yang menunjukkan bahawa terdapat sedikit atau tiada perbezaan di antara RAS dan CLS dari segi tempoh tinggal di hospital untuk prosedur ini.

Dua kajian kecil yang melihat Histerektomi menggunakan RAS berbanding pembedahan abdomen terbuka; Walau bagaimanapun, kebanyakan penemuan dinilai sebagai terlalu tidak menentu untuk menarik sebarang kesimpulan. Sama seperti itu, satu kajian yang melibatkan 73 orang wanita telah melihat pada RAS berbanding dengan CLS dalam pembedahan endometriosis; wanita yang menghidapi endometriosis telah menjalani prosedur yang terdiri daripada reseksi endometrium yang agak kecil hingga histerektomi; ramai wanita yang terlibat dalam kajian ini pernah menjalani pembedahan sebelumnya untuk keadaan mereka, dan saiz sampel tidak mencukupi untuk menunjukkan perbezaan yang mungkin wujud diantara teknik pembedahan.

Kesimpulan
Kadar komplikasi (semasa dan selepas pembedahan) untuk RAS mungkin serupa dengan CLS; walau bagaimanapun, bukti yang ada pada umumnya adalah berkualiti/berkepastian rendah. Bukti penggunaan RAS dalam pembedahan kanser ginekologi adalah lebih tidak pasti kerana kami tidak menemui sebarang bukti perbandingan tentang berulangan semula kanser atau kemandirian selepas pembedahan kanser. Memandangkan RAS bergantung kepada kemahiran dan pengalaman pakar bedah dan merupakan teknologi yang mahal, penilaian keberkesanan dan keselamatannya secara berasingan akan menimbulkan cabaran.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Shing Cheng (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Chan Mei Wai (RCSI&UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information