Perbandingan cara yang berbeza untuk memberi cecair kepada pesakit yang tidak boleh minum dengan cukup, seperti pesakit dengan penyakit virus Ebola

Latar belakang

Ramai pesakit yang menghidap penyakit virus Ebola (EVD) mati kerana mereka mengalami dehidrasi. Pesakit dengan EVD sering mengalami muntah dan cirit-birit yang teruk, yang menyebabkan mereka kehilangan cecair yang sukar diganti dengan minum sahaja. Adalah mungkin untuk memberi cecair dengan cara yang tidak melibatkan saluran penghadaman; ini dikenali sebagai akses parenteral . Ini termasuk memasukkan cecair ke dalam vena (intravena), ke dalam sumsum tulang (secara intraosseus), ke dalam tisu lemak di bawah kulit (secara subkutaneus) atau ke dalam ruang perut (secara intraperitoneum). Memberi cecair secara intravena adalah kaedah biasa, tetapi boleh menjadi masalah pada pesakit dengan EVD kerana memulakan cecair intravena boleh menjadi sukar pada pesakit yang sangat dehidrasi, dan amalan kawalan jangkitan mungkin menjadikan pengekalan infusi itu mencabar. Oleh itu, adalah berguna jika mereka yang menjaga pesakit dengan EVD mengetahui kelebihan dan kekurangan cara lain untuk memberi cecair, supaya mereka boleh membuat keputusan yang paling sesuai untuk pesakit mereka.

Pencarian untuk kajian

Pengulas menjalankan carian untuk kajian yang membandingkan kaedah akses parenteral yang berbeza pada 17 November 2014.

Ciri-ciri kajian

Pengulas menjumpai 7 kajian yang melibatkan 885 peserta. Tiada yang melibatkan pesakit dengan EVD. Lima belas kajian melibatkan pesakit yang memerlukan akses parenteral untuk infusi cecair atau ubat-ubatan dan dua kajian menilai kaedah yang berbeza di bawah keadaan simulasi, seperti pada manikin latihan. Banyak kajian adalah berkualiti rendah.

Keputusan utama

Apabila keputusan kajian ini dikumpulkan bersama, mereka mencadangkan bahawa kedua-dua laluan intraosseus dan subkutaneus mungkin lebih mudah dan lebih cepat untuk dimasukkan ke dalam pesakit daripada laluan intravena, tetapi lebih banyak cecair boleh diberikan secara intravena berbanding dengan kaedah intraosseus atau subkutaneus. Tidak ada penyelidikan yang mencukupi dalam kaedah intraperitoneum untuk mengetahui bagaimana ia dibandingkan dengan kaedah lain.

Kesimpulan

Pekerja penjagaan kesihatan yang menjaga pesakit dengan EVD harus mengetahui cara alternatif untuk memberi cecair. Kajian yang pengulas temui tidak berkualiti tinggi, oleh itu mereka perlu berhati-hati apabila membuat kesimpulan berdasarkan keputusan mereka. Walau bagaimanapun, mereka juga mencadangkan jika akses intravena boleh dicapai dengan mudah, maka ini harus digunakan kerana ia membolehkan infusi jumlah cecair yang lebih besar. Walau bagaimanapun, jika akses intravena tidak mungkin, laluan intraosseus dan subkutaneus adalah alternatif yang boleh dimasukkan dengan cepat. Kebanyakan kajian yang dijalankan setakat ini adalah berkualiti rendah dan tidak ada yang melibatkan pesakit dengan EVD, oleh itu lebih banyak kajian perlu dijalankan.

Filem yang mengiringi ulasan ini boleh ditonton di sini .

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information