Rawatan untuk seborik dermatitis bayi (termasuk ruam kepala bayi) iaitu keadaan kulit yang mengalami keradangan dan bersisik.

Soalan ulasan

Bagaimanakah keberkesanan (dari segi mengubati dan meningkatkan kualiti hidup) dan adakah rawatan untuk seborik dermatitis bayi (ISD) yang selamat bagi kanak-kanak sejak lahir sehingga berumur 24 bulan, apabila dibandingkan dengan yang sesama kumpulan, samada dengan tanpa rawatan atau plasebo (yang mempunyai ciri yang sama dari segi rupabentuk tetapi mengandungi bahan tidak aktif)?

Latar belakang

ISD adalah merupakan keadaan kulit yang mengalami keradangan dan boleh muncul sejurus selepas lahir, dan selalunya memakan masa berminggu ataupun bulan. Apabila ia berlaku di kulit kepala, umumnya ia dikenali sebagai ruam kepala bayi. Keadaan ini boleh melibatkan bayi dari semua etnik bangsa dan zon iklim, sehingga 71% bayi yang terlibat mengalaminya dalam tempoh tiga bulan yang pertama jangkahayat mereka.

Walaupun punca ruam kepala bayi tidak jelas, terdapat beberapa faktor yang memainkan peranan seperti pertumbuhan kulat pada kulit, minyak yang terhasil secara semulajadi pada permukaan kulit dan kehadiran hormon daripada ibu di dalam badan bayi setelah lahir. ISD selalunya adalah gejala ringan dan tidak menyebabkan kerengsaan kepada kanak-kanak. Namun begitu, keadaan ini menyebabkan ibubapa menjadi risau.

Rawatan yang digunakan untuk kanak-kanak yang terjejas dengan ISD adalah seperti agen pelembut, dan diikuti oleh pembuangan kulit bersisik (menggunakan syampu dan sikat rambut), serta rawatan yang digunakan bagi seborik dermatitis orang dewasa seperti antikulat dan kortikosteroid. Tidak seperti seborik dermatitis di kalangan orang dewasa, terdapat keraguan mengenai keselamatan dan keberkesanan rawatan ISD.

Ciri Kajian

Kami mengkaji 6 kajian yang kecil dengan jumlah 310 bayi, di mana 297 dirangkumkan di dalam analisis. Kajian-kajian ini adalah jangkamasa yang pendek (10 sehingga 42 hari) dan kebanyakannya mempunyai kualiti yang rendah. Kajian-kajian ini dilakukan di negara yang berbeza dan dinyatakan ianya dilakukan di klinik-klinik pediatrik. Adalah dinyatakan di dalam 3 kajian bahawa 60% peserta adalah lelaki (144 lelaki di kalangan 241 bayi). Kebanyakan bayi adalah berumur di bawah tujuh bulan, namun terdapat dua kanak-kanak berumur 7 dan 12 tahun. Darjah keterukan ISD dijelaskan sebagai ringan kepada sederhana teruk; terdapat satu kajian menyertakan 2 peserta yang mengalami ISD yang teruk.

Rawatan yang dikaji adalah: Biotin secara oral (kumpulan Vitamin B) dibandingkan dengan plasebo; krim yang mempunyai tanda dagangan atau gel dibandingkan dengan plasebo (atau kumpulan kawalan); dan losyen steroid atau salap dibandingkan dengan krim ‘licochalcone (Likuoris Cina) dan eosin (agen pewarna merah).

Empat kajian mendapat sokongan daripada syarikat farmaseutikal: di dalam 3 kajian itu, sebuah syarikat membekalkan produk intervensi; sebuah syarikat membantu analisa statistik bagi satu kajian; salah satu menggajikan seorang pengarang kajian, dan sebuah kajian mempunyai pengarang yang merupakan konsultan kepada syarikat farmaseutikal.

Bukti ini adalah terkini sehingga 22 May 2018.

Keputusan utama

Dua kajian mengkaji biotin oral berbanding plasebo. Hanya satu kajian yang mengkaji tempoh masa ruam, dan sebuah lagi kajian hanya melaporkan tiada perbezaan di antara kumpulan-kumpulan itu. Maka, adalah tidak jelas rawatan yang mana adalah lebih berkesan.

Di dalam dua kajian yang mengkaji produk kulit yang mempunyai cap tanda dagangan berbanding plasebo, terdapat penambahbaikan bagi darjah keterukan yang sama di antara krim Promiseb (96%) dan plasebo (92%). Satu kajian mengkaji gel laktamid MEA dan syampu dibandingkan dengan hanya syampu. Penurunan kawasan permukaan yang dilitupi dengan ruam dan darjah keterukan ruam adalah lebih tinggi sedikit bagi kumpulan gel (81.4%) berbanding hanya syampu (70.2%).

Apabila membandingkan krim hidrokortisone 1% dengan losyen ‘licochalcone’ 0.025% di dalam satu kajian, kadar pemulihan, sebagai salah satu gejala keterukan, adalah hampir sama (kumpulan hidrokortisone 95.8% berbanding ‘licochalcone’ 97.1%). Penurunan kawasan permukaan badan yang terjejas adalah sama apabila dibandingkan antara salap flumetasone pivalate 0.02% (9%) dan eosin 2% solusi akuoes (7%).

Hanya dua kajian melaporkan kesan-kesan sampingan, termasuk satu kes yang melibatkan peningkatan kemerahan kulit dengan ‘licochalcone’, manakala di dalam kajian yang membandingkan antara gel laktamid MEA dan syampu berbanding hanya syampu, tiada sebarang kesan sampingan khusus dilaporkan.

Tiada kajian yang mengukur peningkatan kualiti hidup.

Kualiti Bukti

Kualiti bukti keterangan telah diturun taraf kepada sangat rendah bagi semua hasil kajian di dalam ulasan ini kerana kebimbangan yang serius mengenai bagaimana kajian-kajian ini dilakukan (risiko bias), bagaimana hasilnya diukur dan dilaporkan, perbezaan antara rawatan-rawatan yang dikaji dan juga jumlah peserta yang sedikit. Maka, kami tidak dapat memastikan ketepatan mereka.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Intan Juliana Abd Hamid (Institut Perubatan & Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi intanj@usm.my.

Tools
Information
Share/Save