Suplemen diet untuk merawat ulser kaki dalam pesakit diabetes

Apakah tujuan ulasan ini?

Kami ingin mengetahui sama ada suplemen nutrisi atau diet khas berkesan adalah berkesan dalam merawat ulser kaki dalam pesakit diabetes. Penyelidik dari Cochrane mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan (kajian rawak terkawal (RCTs)) untuk menjawab soalan ini dan menemui sembilan kajian untuk disertakan. RCTs ialah kajian perubatan yang mana rawatan atau penjagaan yang diterima peserta adalah dipilih secara rawak. Kajian jenis ini menyediakan bukti kesihatan yang paling boleh dipercayai mengenai sama ada pelbagai pendekatan rawatan atau penjagaan menghasilkan perbezaan.

Mesej utama

Dari sembilan kajian yang kami kenal pasti, lapan melaporkan hasil yang kami minati, terutamanya kesan terhadap penyembuhan ulser. Penemuan dari lima kajian menunjukkan kepastian bukti yang sangat rendah mengenai kesan suplemen nutrisi oral dalam bentuk tablet terhadap penyembuhan ulser kaki dalam pesakit diabetes. Lima kajian ini tidak mengukur penyembuhan dalam cara yang kami yakin dengan hasilnya, dan mereka tidak mempunyai peserta yang mencukupi untuk kami yakin dengan kesannya. Keputusan dari tiga kajian yang lain juga menunjukkan kepastian bukti yang sangat rendah sama ada suplemen nutrisi dalam bentuk lain mempunyai sebarang kesan terhadap penyembuhan ulser. Dua daripada kajian ini menunjukkan kepastian bukti yang sangat rendah sama ada minuman suplemen nutrisi mempunyai sebarang kesan terhadap hasil-hasil lain seperti kematian, kemungkinan amputasi, pengurangan bilangan ulser baru, atau kualiti hidup pesakit. Kajian-kajian ini tidak dijalankan dengan baik dan tidak mempunyai peserta yang mencukupi untuk kami yakin dengan kesannya.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Penghidap diabetes boleh mendapat ulser kaki. Ini sering disebabkan pengurangan bekalan darah, pengurangan sensasi, kecacatan kaki, kehadiran trauma, atau kombinasi kesemua atau beberapa penyebab ini. Ulser kaki adalah komplikasi diabetes yang serius dan boleh menyebabkan akibat yang serius seperti amputasi.

Difikirkan bahawa ulser kaki, seperti luka lain, sembuh lebih baik, dan lebih cepat, jika pesakit mendapat khasiat yang mencukupi. Suplemen makanan yang mengandungi vitamin dan protein tertentu boleh diberikan kepada pesakit ulser kaki dan diabetes untuk membantu merawat luka mereka.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami menemui sembilan kajian yang relevan dari tahun 2004 hingga 2019, melibatkan 629 peserta, 72% adalah lelaki, berusia, secara purata, 59.2 tahun. Kebanyakan kajian dilakukan di klinik pesakit luar hospital. Tiga kajian meneroka minuman suplemen nutrisi yang berbeza dan membandingkannya dengan minuman yang kelihatan serupa tetapi tidak mempunyai sebarang suplemen nutrisi tambahan. Lima kajian meneroka kesan tablet nutrisi yang berlainan jenis dan membandingkannya dengan tablet yang tidak mengandungi sebarang bahan aktif, atau suplemen nutrisi. Satu kajian membandingkan dua dos suntikan vitamin D yang berbeza. Satu kajian tidak melaporkan sebarang hasil yang menarik untuk ulasan ini.

Dua kajian dibiayai oleh pengeluar suplemen nutrisi, lima kajian dibiayai oleh dana penyelidikan universiti Iran.

Penemuan dari lapan kajian adalah tidak jelas sama ada intervensi nutrisi meningkatkan penyembuhan ulser kaki dalam pesakit diabetes berbanding dengan tiada suplemen nutrisi, atau berbanding dengan dos suplemen nutrisi yang berbeza. Satu kajian melaporkan kejadian buruk dan dua kajian melaporkan jumlah amputasi. Hasil adalah tidak jelas sama ada terdapat perbezaan dalam jumlah amputasi atau kematian di antara suplemen nutrisi dan tiada suplemen nutrisi. Adalah tidak jelas jika terdapat perbezaan dalam kualiti hidup berkaitan kesihatan atau bilangan ulser yang berulang di antara suplemen nutrisi dan tiada suplemen nutrisi.

Keseluruhannya, kami menilai kepastian bukti sebagai sangat rendah. Tiada kajian mempunyai peserta yang mencukupi, lima kajian tidak mengukur hasil dalam cara yang kami yakin dengan keputusannya dan kajian tersebut tidak dijalankan dengan baik, maka kami tidak yakin dengan keputusannya. Kajian tambahan dengan risiko bias yang rendah dan kepastian bukti yang tinggi adalah diperlukan untuk menjelaskan peranan intervensi nutrisi bagi rawatan ulser kaki dalam pesakit diabetes.

Sejauh manakah ulasan ini dikemaskini?

Kami mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga Mac 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save