Epidural yang diberi berselang-seli (bolus mandatori automatik) berbanding penghantaran berterusan (infusi basal) untuk mengekalkan kelegaan kesakitan semasa bersalin

Latar belakang

Analgesia epidural melibatkan suntikan ubat pengurang rasa sakit ke dalam ruang epidural (kawasan di luar tulang belakang). Ia adalah satu bentuk kelegaan kesakitan yang berkesan semasa bersalin. Ubat ini biasanya diberikan melalui pam yang diatur cara untuk menyuntik ubat melalui tiub kecil yang diletakkan di ruang epidural. Secara tradisinya, ubat dihantar pada kadar tetap yang dikenali sebagai ‘infusi basal’. Baru-baru ini terdapat minat untuk memberi ubat sebagai dos berselang-seli (setiap sekarang dan kemudian) sebaliknya. Ini dipanggil ‘dos bolus’, atau ‘bolus mandatori automatik’, mungkin lebih baik untuk melegakan kesakitan. Kajian ini mengulas bukti mengenai dua intervensi untuk mengekalkan analgesia epidural semasa bersalin: bolus mandatori automatik dan infusi basal.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga Januari 2018. Kami menjumpai 12 kajian melibatkan 1121 wanita dengan kehamilan tanpa komplikasi. Kami tidak menilai secara khusus kesan sumber pembiayaan terhadap kajian. Orang yang mengambil bahagian dalam kajian yang kami cari (dikenali sebagai kajian rawak terkawal) diperuntukkan secara rawak sama ada kepada kumpulan yang menerima rawatan yang sedang dikaji atau kepada kumpulan yang menerima rawatan standard sebagai kawalan. Ini adalah untuk mengurangkan sebarang berat sebelah yang mungkin ada pada penyiasat atau peserta kajian.

Keputusan utama

Kami mendapati bahawa bolus mandatori automatik mengurangkan risiko kesakitan terobosan (sakit yang memerlukan intervensi medikal daripada pakar anestesi) berbanding dengan infusi basal semasa bersalin. Ia dilakukan tanpa meningkatkan risiko pembedahan caesarean; risiko bersalin secara instrumental (sama ada intervensi pakar obstetrik untuk membantu bersalin menggunakan forsep obstetrik atau alat vakum); atau tempoh bersalin. Ia mungkin dapat mengurangkan dos ubat yang diperlukan setiap jam. Di samping itu, lima daripada tujuh kajian mendapati bahawa ibu lebih suka bolus mandatori automatik berbanding infusi basal.

Kepastian bukti

Bukti adalah kepastian sederhana untuk semua hasil yang kami ukur, kecuali risiko bersalin secara caesar dan risiko kelahiran instrumental, yang hanya mempunyai bukti berkepastian rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information