Imejan berpandu untuk merawat hipertensi semasa kehamilan

Apakah isunya?

Sesetengah wanita mempunyai tekanan darah tinggi jangka panjang atau tekanan darah tinggi, sementara kira-kira 10% wanita mengandung mengalami tekanan darah tinggi akibat komplikasi kehamilan. Imejan berpandu adalah terapi minda dan badan yang melibatkan visualisasi pelbagai imej mental untuk memudahkan rehat dan mengurangkan tekanan darah. Ia boleh dilakukan oleh diri sendiri, individu kepada individu, atau secara berkumpulan dengan seorang pengajar menggunakan audio atau skrip.

Mengapakah ianya penting?

Tekanan darah tinggi semasa kehamilan dikaitkan dengan peningkatan risiko ibu untuk mendapat pra-eklampsia dengan proteinuria, eklampsia dengan sawan dan gangguan hati dan darah, serta kegagalan buah pinggang. Bayi kepada wanita hamil dengan tekanan darah tinggi lebih cenderung untuk dilahirkan terlalu awal, terlalu kecil, dan mungkin memerlukan penjagaan neonatal yang intensif. Ubat tekanan darah tinggi telah disyorkan untuk wanita yang mempunyai tekanan darah tinggi dan pra-eklampsia kerana risiko komplikasi yang mengancam nyawa, tetapi ubat-ubatan tersebut boleh memberi kesan buruk kepada ibu (termasuk sakit kepala, menurunkan kewaspadaan mental dan ketidak-toleransi senaman). Ubat-ubatan tersebut juga boleh menyeberangi plasenta dan menjejaskan bayi yang belum lahir, dan secara umumnya tidak disyorkan untuk wanita hamil dengan tekanan darah tinggi yang ringan hingga sederhana, yang dengan demikian cara lain untuk menguruskan tekanan darah dicari.

Imejan berpandu adalah teknik bukan farmakologi yang berpotensi menurunkan tekanan darah di kalangan wanita hamil dengan hipertensi dan meningkatkan hasil kehamilan untuk ibu dan bayinya.

Apakah bukti yang telah kami dapati?

Kami telah mencari bukti (Oktober 2018) dan menjumpai dua kajian (melibatkan 99 wanita) yang telah dijalankan di Canada dan USA. Kedua-dua kajian membandingkan imejan berpandu dengan rehat yang tenang. Tiada kajian yang membandingkan imej berpandu tanpa intervensi, atau dengan kaedah bukan farmakologi yang lain untuk hipertensi.

Kedua-dua kajian tersebut melaporkan hasil yang berbeza dan kekerapan intervensi adalah sedikit berbeza antara kedua-duanya. Satu kajian melakukan imejan berpandu selama 15 minit sekurang-kurangnya dua kali sehari selama empat minggu atau sehingga bayi dilahirkan (bergantung kepada mana sahaja yang lebih dahulu). Kajian lain melibatkan imejan berpandu, pemantauan tekanan darah sendiri, dan latihan pemulihan termal biofeedback selama empat jam; Wanita itu diarahkan untuk mengamalkan prosedur sebanyak dua kali sehari dan mendapat sekurang-kurangnya tiga kali istirahat yang rileks setiap hari. Kumpulan pemboleh ubah kawalan antara kedua-dua kajian adalah sama - satu menggunakan rehat yang tenang dan satu lagi rehat di atas katil.

Tidak ada satupun kajian yang melaporkan data untuk hasil yang menjadi tumpuan kami: iaitu hipertensi teruk, pra-eklampsia teruk, atau kematian bayi semasa kelahiran atau dalam minggu pertama kehidupan. Kajian itu hanya menyediakan data untuk satu daripada hasil sekunder kami.

Bukti ketetapan yang rendah dari kajian tersebut (69 wanita) menunjukkan bahawa, berbanding dengan rehat yang tenang, imejan berpandu mungkin memberikan sedikit atau tidak ada perbezaan langsung dalam penggunaan ubat antihipertensi.

Apakah maksudnya?

Kami memasukkan dua kajian kecil yang membandingkan imejan berpandu dengan rehat yang tenang. Kami tidak mengenal pasti sebarang kajian yang membandingkan imejan berpandu tanpa intervensi, atau rawatan bukan farmakologi yang lain untuk hipertensi.

Bukti yang ada untuk ulasan ini adalah jarang dan kesan imejan berpandu untuk merawat hipertensi semasa kehamilan (berbanding dengan kerehatan yang tenang) adalah masih tidak jelas.

Kajian-kajian yang disertakan tidak melaporkan sebarang hasil utama yang diperlukan dalam ulasan ini dan hanya memberikan keterangan dengan kepastian yang rendah tentang kesan tidak pasti terhadap penggunaan ubat-ubatan antihipertensi.

Terdapat bukti yang tidak mencukupi tentang amalan penggunaan imejan berpandu untuk tekanan darah tinggi semasa kehamilan.

Kajian yang besar dan direka dengan baik diperlukan untuk mengenal pasti kesan imejan berpandu pada hipertensi semasa kehamilan dan pada hasil lain yang berkaitan dengan kesihatan jangka pendek dan jangka panjang kepada ibu dan bayi mereka. Kajian-kajian tersebut juga harus mempertimbangkan penggunaan dan kos perkhidmatan kesihatan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syarifah Amirah Balqis Awang (Lincoln University College). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi syamirahbalqis3@gmail.com.

Tools
Information
Share/Save