Intervensi untuk memperbaiki akses kepada perkhidmatan pembedahan katarak dan impak kepada ekuiti di negara berpendapatan rendah dan sederhana

Apakah matlamat ulasan ini?
Tujuan Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui jika terdapat cara untuk memudahkan orang di negara berpendapatan rendah dan sederhana (LMICs) menjalani pembedahan katarak, dan membuat pembedahan katarak adil (tiada ketaksaksamaan) dalam LMICs.

Penyelidik Cochrane mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan menemui dua kajian.

Mesej utama
Ulasan menunjukkan bahawa menawarkan pembedahan percuma mungkin meningkatkan penggunaan pembedahan di LMICs. Tiada bukti sama ada ini boleh mengurangkan tahap kehilangan penglihatan akibat katarak dalam masyarakat, atau sama ada ini membantu mengurangkan ketaksaksamaan (membuat perkara lebih adil). Bantuan pengangkutan, maklumat tambahan atau kaunseling mungkin tidak memperbaiki penggunaan, sekali lagi tanpa bukti mengenai tahap buta katarak atau ketaksaksamaan. Bukti adalah dari dua kajian kecil di luar bandar China.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Apabila orang menjadi lebih tua, kanta mata menjadi keruh membawa kepada hilang penglihatan dan buta. Kanta keruh dikenali sebagai katarak. Doktor boleh mengeluarkan katarak dan menggantikannya dengan kanta buatan. Pembedahan sering berjaya dan mengembalikan penglihatan.

Pembedahan katarak tidak diagihkan dengan adil di dunia. Lebih ramai orang di LMIC mempunyai katarak yang menyebabkan hilang penglihatan dan buta kerana lebih sukar untuk mendapatkan pembedahan katarak. Apabila sesetengah orang kurang mendapat penjagaan kesihatan yang baik, seperti pembedahan katarak, ini dikenali sebagai ketaksaksamaan. Terdapat juga ketaksaksamaan dalam LMIC kerana orang dan wanita yang lebih miskin juga kurang berpeluang menjalani pembedahan katarak.

Untuk menangani masalah ini, para penyelidik Cochrane ingin mengetahui jika ada cara untuk memperbaiki peluang mendapatkan pembedahan katarak di LMIC dan mengurangkan beban katarak. Mereka juga mahu melihat jika ini menjadikannya lebih adil (kurang ketaksaksamaan) dan membantu semua orang mendapatkan peluang yang sama untuk menjalani pembedahan katarak. Mereka merancang untuk mempertimbangkan banyak aspek yang berbeza termasuk penerimaan, kemampuan dan ketersediaan perkhidmatan katarak.

Apakah keputusan utama ulasan?
Penyelidik Cochrane menemui dua kajian yang relevan. Kedua-dua kajian itu adalah dari China dan berlaku di kawasan luar bandar. Satu kajian memberi orang maklumat dan kaunseling tambahan dan membandingkannya dengan tidak memberi maklumat tambahan atau kaunseling. Kajian yang satu lagi melihat pemberian pembedahan katarak percuma, dan membantu kos pengangkutan ke hospital, berbanding pembedahan katarak kos rendah dan tiada bantuan pengangkutan. Penemuan adalah seperti berikut.

• Menawarkan lebih banyak maklumat atau kaunseling mungkin tidak memperbaiki rujukan dan penggunaan pembedahan (bukti kepastian rendah).
• Menawarkan pembedahan katarak percuma mungkin memperbaiki penggunaan pembedahan (bukti kepastian rendah).
• Tiada bukti tentang apa yang berlaku kepada tahap katarak dalam masyarakat.

Adakah ulasan ini terkini?
Penyelidik Cochrane telah mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga 12 April 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save