Kedalaman anestesia yang dioptimumkan dipandu oleh aktiviti elektrik otak untuk perlindungan daripada kecelaruan selepas pembedahan dan disfungsi kognitif pada orang dewasa

Soalan ulasan

Kami ingin mengetahui sama ada menggunakan pemantauan aktiviti elektrik otak untuk membimbing dos anestetik boleh mengurangkan risiko kecelaruan selepas pembedahan (POD) dan disfungsi kognitif (POCD) pada orang dewasa yang menjalani anestesia am untuk prosedur pembedahan bukan jantung dan neurologi.

Latar belakang

Delirium selepas pembedahan (POD) adalah keadaan fikiran yang terganggu yang berlaku beberapa hari selepas pembedahan. POD melibatkan proses kekeliruan yang berubah-ubah dan tingkah laku yang tidak teratur. Disfungsi kognitif selepas pembedahan (POCD) adalah penurunan keupayaan seseorang untuk berfikir dengan jelas selepas pembedahan. Ini mungkin berterusan selama beberapa minggu atau bulan. POCD boleh menjejaskan tumpuan, perhatian, ingatan, pembelajaran, dan kelajuan pergerakan dan tindak balas mental seseorang. POD dan POCD boleh merumitkan kualiti pemulihan seseorang daripada anestesia, serta kualiti hidup mereka selepas pembedahan.

Pemantau electroencephalogram (EEG) yang diproses menjana nilai berangka tentang aktiviti elektrik otak. Nombor tersebut memberikan maklumat tentang kedalaman anestesia semasa pembedahan, dan digunakan untuk membimbing dos anestetik yang diberikan. Ini adalah untuk mengelakkan individu menerima dos anestetik yang terlalu kecil atau terlalu besar.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga Mac 2017. Kami menemui enam kajian yang telah selesai, lima kajian yang sedang berjalan, dan satu menunggu pengelasan.

Ciri-ciri kajian

Kesemua enam kajian yang telah disiapkan adalah kajian rawak terkawal (RCT) yang dijalankan pada 2929 peserta lelaki atau perempuan yang menjalani prosedur pembedahan dan berumur 60 tahun atau ke atas. RCT adalah kajian yang bertujuan untuk mengurangkan berat sebelah apabila menguji rawatan baru. Individu yang mengambil bahagian dalam kajian diperuntukkan secara rawak kepada kumpulan yang menerima rawatan yang disiasat, atau kepada kumpulan yang menerima rawatan standard (atau rawatan plasebo) sebagai kawalan. RCT memberi bukti yang paling boleh dipercayai.

Keputusan utama

Keputusan daripada tiga kajian (2529 peserta) menunjukkan bahawa menggunakan EEG yang diproses untuk membantu menyampaikan kedalaman anestesia yang optimum boleh mengurangkan kejadian POD dari 21.3% ke 15.2%. Keputusan daripada tiga kajian (2051 peserta) menunjukkan bahawa ini juga boleh mengurangkan kejadian POCD dalam tiga bulan dari 9.1% ke 6.4%.

Kualiti bukti

Ulasan kami menyediakan bukti berkualiti sederhana bahawa anestesia yang dipandu oleh indeks EEG yang diproses boleh mengurangkan risiko kecelaruan selepas pembedahan pada pesakit berumur 60 tahun atau lebih yang menjalani prosedur pembedahan tidak melibatkan jantung dan neurologi. Kami mendapati beberapa bukti berkualiti sederhana bahawa disfungsi kognitif selepas pembedahan pada tiga bulan boleh dikurangkan dalam kalangan peserta ini. Terdapat bukti yang tidak mencukupi untuk menyokong kesan pada POCD pada satu minggu dan lebih satu tahun selepas pembedahan atau pada pesakit yang lebih muda.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Cheryl Chan Zhi Ying (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information