Terapi manual dan senaman untuk bahu beku (kapsulitis pelekat)

Latar Belakang

Bahu beku biasanya mengakibatkan sakit bahu dan kekakuan. Kesakitan dan kekakuan boleh bertahan sehingga dua hingga tiga tahun sebelum hilang, dan sangat sakit pada peringkat awal.

Terapi manual merangkumi pergerakan sendi dan struktur yang lain oleh profesional penjagaan kesihatan (misalnya ahli fisioterapi). Senaman termasuk sebarang pergerakan sengaja sendi, pengecutan otot atau aktiviti yang ditetapkan. Matlamat kedua-dua rawatan adalah untuk melegakan sakit, meningkatkan julat sendi dan meningkatkan fungsi.

Ciri-ciri Kajian

Ringkasan ulasan Cochrane yang dikemas kini ini membentangkan apa yang kita ketahui dari penyelidikan mengenai faedah dan bahaya terapi manual dan senaman dikalangan orang yang mengalami bahu beku. Setelah mencari semua kajian yang relevan yang diterbitkan sehingga Mei 2013, kami menyertakan 32 kajian (1836 peserta). Di antara peserta yang disertakan, 54% adalah wanita, umur purata adalah 55 tahun dan tempoh purata keadaan adalah enam bulan. Tempoh purata terapi manual dan intervensi senaman adalah empat minggu.

Keputusan utama - terapi manual dan senaman berbanding dengan suntikan glukokortikoid (steroid yang mengurangkan keradangan) ke bahu

Sakit (skor yang lebih tinggi bermakna sakit yang lebih teruk)

Orang yang menjalani terapi manual dan senaman selama enam minggu tidak bertambah baik seperti orang yang mengalami suntikan glukokortikoid—penambahbaikan sakit adalah 26 mata kurang (antara 15 hingga 37 mata kurang) pada tujuh minggu (peningkatan mutlak 26% kurang).

• Orang yang menjalani terapi manual dan senaman menilai perubahan skor sakit mereka sebagai 32 mata pada skala 0 hingga 100 mata.

• Orang yang mempunyai suntikan glukokortikoid menilai perubahan skor sakit mereka sebagai 58 mata pada skala 0 hingga 100 mata.

Fungsi (skor lebih rendah bermaksud fungsi lebih baik)

Orang yang menjalani terapi manual dan senaman selama enam minggu tidak bertambah baik seperti orang yang mengalami suntikan glukokortikoid—penambahbaikan sakit adalah 25 mata kurang (antara 15 hingga 35 mata kurang) pada tujuh minggu (peningkatan mutlak 25% kurang).

• Orang yang menjalani terapi manual dan senaman menilai perubahan fungsi mereka sebagai 14 mata pada skala 0 hingga 100 mata.

• Orang yang mempunyai suntikan glukokortikoid menilai perubahan fungsi mereka sebagai 39 mata pada skala 0 hingga 100 mata.

Kejayaan rawatan

31 orang kurang daripada 100 menilai rawatan mereka berjaya dengan terapi manual dan senaman selama enam minggu berbanding dengan suntikan glukokortikoid— 31% peningkatan mutlak kurang (antara 13% hingga 48% kurang peningkatan).

• 46 daripada 100 orang melaporkan kejayaan rawatan dengan terapi manual dan senaman.

• 77 daripada 100 orang melaporkan kejayaan rawatan dengan suntikan glukokortikoid.

Kesan-kesan sampingan

Daripada 100 orang, tiga mempunyai kesan sampingan kecil seperti sakit sementara selepas rawatan dengan terapi manual dan senaman selama enam minggu berbanding dengan suntikan glukokortikoid.

• 56 daripada 100 orang melaporkan kesan sampingan dengan terapi manual dan senaman.

• 53 daripada 100 orang melaporkan kesan sampingan dengan suntikan glukokortikoid.

Kualiti bukti

Bukti kualiti sederhana menunjukkan bahawa gabungan terapi manual dan senaman mungkin meningkatkan sakit dan fungsi kurang daripada suntikan glukokortikoid sehingga tujuh minggu, dan mungkin tidak mengakibatkan lebih banyak kejadian buruk. Penyelidikan lanjut mungkin mengubah anggaran.

Bukti kualiti rendah menunjukkan bahawa (1) gabungan terapi manual, senaman dan elektroterapi (seperti ultrasound terapeutik) mungkin tidak menambahbaik sakit atau fungsi lebih daripada suntikan glukokortikoid atau suntikan plasebo ke bahu, (2) kombinasi terapi manual, senaman, elektroterapi dan suntikan glukokortikoid mungkin tidak menambahbaik sakit atau fungsi lebih daripada suntikan glukokortikoid sahaja dan (3) gabungan terapi manual, senaman, elektroterapi dan ubat anti-radang oral bukan steroid (NSAID) boleh tidak meningkatkan fungsi lebih daripada NSAID oral sahaja. Kajian lanjut mungkin menukar anggaran ini.

Bukti berkualiti tinggi menunjukkan bahawa berikutan distensi sendi arthrografi, gabungan terapi manual dan senaman tidak menambahbaik sakit atau fungsi lebih daripada ultrasound palsu, tetapi dapat memberikan kejayaan rawatan yang lebih besar dan julat gerakan aktif yang dilaporkan oleh pesakit. Penyelidikan lanjutan sangat tidak mungkin mengubah keyakinan kita terhadap anggaran kesannya.

Tiada kajian membandingkan gabungan terapi manual dan senaman berbanding plasebo atau tiada intervensi.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).

Tools
Information