Intervensi perubatan atau psikologi untuk mencegah kemurungan pada orang dengan keadaan fizikal jangka panjang

Mengapa ulasan ini penting?

Orang yang mempunyai penyakit jangka panjang atau keadaan kesihatan fizikal yang lain mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding orang lain untuk mengalami kemurungan. Ini dapat mengurangkan kualiti hidup mereka. Kemurungan disifatkan dengan gejala seperti mood rendah, perasaan putus asa, kehilangan minat terhadap perkara-perkara yang pernah memberi keseronokan, dan gejala lain, serta gangguan tidur. Orang dengan keadaan fizikal jangka panjang yang mengalami kemurungan adalah cenderung penyakit mereka bertambah teruk dan lebih cenderung untuk mati. Oleh itu, mencegah kemurungan pada orang dengan keadaan fizikal jangka panjang harus menjadi tujuan penting dalam penjagaan kesihatan.

Apakah soalan yang ingin dijawab oleh ulasan ini?

Kami ingin mengetahui sama ada intervensi piawai untuk merawat kemurungan (iaitu rawatan psikologi dan ubat antidepresan) juga boleh digunakan dengan selamat untuk mencegah permulaan episod kemurungan pada orang dewasa yang berisiko tinggi untuk mengalami kemurungan kerana keadaan fizikal jangka panjang mereka, tetapi belum menunjukkan gejala kemurungan. Kami juga ingin mengetahui apakah intervensi ini berfungsi untuk mencegah kemurungan berulang, pada pesakit dengan keadaan fizikal jangka panjang yang mempunyai sejarah kemurungan.

Bagaimana kami mengenal pasti dan menilai bukti?

Pertama, kami mencari penulisan perubatan untuk kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana individu dimasukkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan). Kajian jenis ini memberikan bukti yang paling kuat mengenai kesan rawatan. Kami kemudian membandingkan hasilnya, dan meringkaskan bukti dari semua kajian. Akhirnya, kami menilai kepastian tentang bukti. Untuk melakukannya, kami mempertimbangkan faktor-faktor seperti cara kajian dijalankan, saiz kajian, dan konsistensi penemuan merentasi kajian. Berdasarkan penilaian kami, kami mengelaskan bukti sebagai berkepastian sangat rendah, rendah, sederhana atau tinggi.

Siapakah yang akan berminat dalam ulasan ini?

Penyedia perubatan dan penjagaan kesihatan mental (termasuk doktor dan pakar psikologi) dan ahli farmasi, serta orang dewasa dengan keadaan fizikal jangka panjang, saudara-mara dan penjaga mereka.

Kajian mana yang dimasukkan ke dalam ulasan ini?

Ulasan ini merangkumi 11 kajian membandingkan intervensi psikologi (terapi penyelesaian masalah) dengan rawatan seperti biasa; atau membandingkan intervensi farmakologi antidepresan (citalopram, escitalopram, sertraline, fluoxetine/nortriptyline, milnacipran, atau melatonin) dengan plasebo. Untuk intervensi psikologi, kami menemui hanya satu kajian, termasuk 194 orang dengan degenerasi makula yang berkaitan dengan usia (penyakit mata). Untuk intervensi farmakologi, kami memasukkan 10 kajian yang melibatkan 1009 orang. Oleh kerana sebilangan peserta tidak menyelesaikan kajian, kami hanya dapat menganalisis data untuk 837 peserta.

Apa yang diberitahu oleh bukti dari ulasan ini?

Analisis kami menunjukkan bahawa orang dengan keadaan fizikal jangka panjang mungkin kurang cenderung mengalami kemurungan semasa rawatan dengan terapi penyelesaian masalah, atau dengan pelbagai jenis antidepresan. Walau bagaimanapun, intervensi ini nampaknya bermanfaat hanya semasa rawatan. Tiga hingga 12 bulan setelah rawatan, tidak ada perbezaan yang jelas dalam permulaan kemurungan antara kumpulan yang melakukan intervensi dan mereka yang tidak. Oleh itu, intervensi pencegahan mungkin berkesan untuk mencegah permulaan kemurungan hanya selama tempoh intervensi. Kesimpulan kami adalah berdasarkan bukti yang berkepastian sangat rendah. Di samping itu, tidak ada maklumat yang cukup mengenai toleransi (kejadian buruk yang tidak menyenangkan tetapi secara amnya kurang penting akibat intervensi, misalnya mulut kering) dan penerimaan (kesediaan untuk melakukan intervensi walaupun terdapat kejadian buruk) dari rawatan tersebut. Intervensi ini mungkin tidak selamat, tanpa mengira potensinya untuk mencegah kemurungan.

Seberapa terkinikah ulasan ini?

Bukti dalam Ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga 6 Februari 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save