Alemtuzumab untuk multiple sclerosis

Mesej utama

– Alemtuzumab boleh mengurangkan risiko relaps dan perkembangan penyakit jika dibandingkan dengan interferon subkutaneus beta-1a pada individu dengan MS yang berulang-relaps, sejenis MS di mana anda mengalami gejala yang lebih teruk (relaps) diikuti dengan tempoh pemulihan.

– Kajian yang direka dengan baik pada masa hadapan adalah diperlukan untuk menilai hasil yang berkaitan pesakit seperti kualiti hidup dan keletihan.

Apakah isunya?

Multiple sclerosis (MS) adalah penyakit kronik sistem saraf yang menjejaskan orang dewasa muda dan pertengahan umur. Kerosakan berulang pada sarung myelin (membran yang menutupi dan melindungi saraf) dan bahagian saraf yang lain boleh menyebabkan kecacatan yang serius. MS mungkin berkaitan dengan masalah dalam sistem imun. Alemtuzumab ialah ubat biologi (sejenis antibodi), yang telah pun digunakan untuk penyakit lain.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami berhasrat untuk menyiasat faedah dan kesan yang tidak diingini (dipanggil kejadian buruk) alemtuzumab yang digunakan secara bersendirian atau dikaitkan dengan rawatan lain untuk individu yang mempunyai sebarang bentuk MS. Kami ingin mengetahui sama ada alemtuzumab lebih baik berbanding dengan rawatan lain yang tersedia untuk penghidap MS.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang menyiasat alemtuzumab untuk individu yang mempunyai sebarang bentuk MS. Kami mencari bahan bacaan sehingga Oktober 2020. Kami menganalisis dan membandingkan keputusan kajian yang disertakan dan menilai sejauh mana keyakinan kami terhadap bukti yang ada.

Apa yang kami temui?

Kami menemui tiga kajian (memasukkan 1713 peserta) yang memenuhi kriteria pemilihan ulasan. Semua kajian membandingkan alemtuzumab intravena (disuntik ke dalam vena) berbanding subkutaneus (disuntik di bawah kulit) interferon beta-1a untuk individu dengan MS yang berulang-relaps. Dua kajian (dipanggil CARE-MS I dan CAMMS223) merawat peserta untuk MS mereka buat kali pertama (rawatan-naif). Kajian ketiga (CARE-MS II) memasukkan peserta dengan sekurang-kurangnya satu relaps semasa dirawat dengan interferon beta atau glatiramer asetat selama sekurang-kurangnya enam bulan.

Keputusan utama

Ulasan kajian-kajian ini mendapati bahawa, berbanding dengan interferon subkutaneus beta-1a, alemtuzumab boleh mengurangkan risiko relaps dan perkembangan penyakit (MS yang semakin teruk) pada individu dengan MS yang berulang-relaps, dan membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan peserta yang mengalami sekurang-kurangnya satu kejadian buruk (tetapi kedua-dua ubat mempunyai bilangan peserta yang tinggi dengan sekurang-kurangnya satu kejadian buruk). Terdapat kekurangan maklumat tentang kesan alemtuzumab pada hasil lain seperti kualiti hidup dan keletihan.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami terhadap kesan alemtuzumab, berbanding interferon beta-1a, untuk hasil utama berkisar dari rendah hingga sangat rendah. Ini bermakna terdapat kebarangkalian tinggi bahawa kajian masa depan boleh mengubah kesimpulan kami.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Jun 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information