Pemindahan embrio segar berbanding beku untuk reproduksi berbantu

Soalan ulasan

Adakah strategi beku semua bagi rawatan IVF dan ICSI selamat dan berkesan berbanding rawatan IVF dan ICSI konvensional?


Latar belakang

Secara konvensional, rawatan persenyawaan in vitro (IVF) atau rawatan suntikan sperma intrasitoplasma (ICSI) terdiri daripada pemindahan embrio segar secara langsung sejurus selepas hiperstimulasi ovari, yang digunakan untuk mendapatkan oosit dalam prosedur IVF/ICSI. Dalam rawatan IVF/ICSI konvensional pemindahan embrio segar mungkin diikuti dengan pemindahan satu atau lebih embrio beku dalam kitaran-kitaran berikutnya apabila bilangan embrio yang cukup tersedia. Sebagai alternatif, seseorang boleh memilih untuk ‘membekukan semua’ embrio yang sesuai, dan memindahkan embrio beku dalam hanya kitaran-kitaran berikutnya, yang juga dikenali sebagai strategi ‘beku semua’. Dalam strategi ‘beku semua’ semua embrio dibekukan untuk dipindahkan kemudian apabila ovari tidak dirangsang. Oleh itu, kaedah ini dapat mengurangkan risiko sindrom hiperstimulasi ovari (OHSS, reaksi berlebihan kepada ubat-ubatan kesuburan) kerana OHSS adalah lebih teruk apabila kehamilan berlaku. Selanjutnya, kajian-kajian menunjukkan bahawa tindak balas hormon wanita kepada ubat-ubatan kesuburan boleh mempengaruhi lapisan rahim menjadikannya sukar untuk embrio menampal. Oleh itu, boleh jadi ia bermanfaat untuk membekukan embrio dan memindahkannya kemudian apabila lapisan rahim tidak terjejas oleh ubat-ubatan kesuburan.

Pada dekad ini, semakin banyak klinik menggunakan strategi ‘beku semua’ sebagai strategi rawatan standard di tempat mereka. Dalam praktis, strategi ‘beku semua’ dan strategi konvensional berbeza dari segi teknikal.

Kami membanding keberkesanan dan keselamatan strategi-strategi rawatan ini dalam wanita yang menjalani teknologi reproduktif berbantu.


Ciri-ciri kajian

Kami meneliti semua penyelidikan yang diterbitkan dalam literatur saintifik sehingga 23 September 2020.

Kami menyertakan 15 kajian rawak terkawal (eksperimen yang mana setiap orang mempunyai peluang yang sama untuk dipilih menerima rawatan atau pembanding) dalam ulasan ini. Kami dapat menggabungkan dan menganalisis keputusan-keputusan lapan kajian, dengan jumlah 4712 wanita.

Keputusan utama

Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam kadar kelahiran hidup kumulatif dan kadar kehamilan berterusan antara strategi ‘beku semua’ dan strategi IVF/ICSI konvensional. Penemuan kami menunjukkan bahawa jika kadar kelahiran hidup kumulatif adalah 58% selepas strategi IVF/ICSI konvensional, kadar selepas strategi ‘beku semua’ adalah antara 57% dan 63%. Tidak menjalankan pemindahan segar, seperti yang dilakukan strategi beku semua, mungkin menurunkan risiko OHSS untuk wanita yang berisiko untuk OHSS. Penemuan kami menunjukkan bahawa jika kadar OHSS adalah 3% selepas strategi IVF/ICSI konvensional, kadar selepas strategi ‘beku semua’ adalah 1%. Kami tidak pasti sama ada strategi ‘beku semua’ mempunyai sebarang kesan terhadap risiko keguguran, kadar kehamilan berganda, dan tempoh untuk hamil berbanding dengan IVF/ICSI konvensional.

Kami juga menilai perbezaan risiko untuk ibu dan anak. Strategi ‘beku semua’ mungkin meningkatkan risiko gangguan hipertensi kehamilan, risiko melahirkan bayi yang besar untuk usia kehamilan, dan mungkin menyebabkan berat kelahiran yang lebih bagi anak. Perhatian diperlukan dalam membuat kesimpulan kerana analisis adalah berdasarkan jumlah peristiwa yang sangat rendah.


Kualiti bukti

Bukti adalah berkualiti sederhana untuk kadar kelahiran hidup kumulatif dan berkualiti rendah untuk dapatan keselamatan. Kualiti yang rendah secara umumnya disebabkan ketidaktepatan yang serius memandangkan jumlah peristiwa yang sedikit, kelainan yang tidak dapat diterangkan, bermakna keputusan seluruh kajian sangat berbeza, dan disebabkan risiko bias dalam kajian-kajian yang disertakan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save