Sekatan saraf infraorbital bagi sakit selepas pembedahan bibir sumbing dalam kalangan kanak-kanak

Latar belakang

Bibir sumbing adalah salah satu kecacatan kelahiran yang lazim. Pembedahan untuk membetulkan kecacatan ini boleh menyebabkan sakit yang sederhana atau teruk. Kebanyakan ubat untuk mengurangkan sakit (analgesik) yang diguna oleh orang dewasa mempunyai kesan yang tidak diingini dalam kalangan kanak-kanak. Rawatan kesakitan yang berkaitan dengan pembetulan pembedahan bibir sumbing boleh menjadi satu cabaran. Satu teknik yang boleh mengurangkan sakit bagi kanak-kanak tersebut adalah sekatan saraf infraorbital yang melibatkan suntikan anestetik di sekitar saraf yang bertanggungjawab untuk sensasi sentuh dan sakit di bibir atas.

Soalan ulasan

Kami mengulas keberkesanan sekatan saraf infraorbital berbanding plasebo (sekatan palsu) atau intervensi lain untuk mengawal sakit dalam kalangan kanak-kanak yang menjalani pembedahan bibir sumbing.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan lapan kajian yang melibatkan sejumlah 353 kanak-kanak lelaki dan perempuan berumur antara 1 bulan hingga 13 tahun. Kajian-kajian ini telah diterbitkan sehingga Jun 2015. Tiga kajian membandingkan sekatan saraf dengan sekatan palsu. Tiga kajian membandingkan sekatan saraf dengan suntikan analgesik dan dua kajian membandingkan sekatan saraf dengan anestetik setempat.

Keputusan utama

Kanak-kanak yang menerima sekatan saraf infraorbital (dengan lignokain atau bupivakain) mengalami kurang sakit dan menunjukkan lebih masa di antara penyudahan pembedahan dan keperluan mengambil analgesik. Kanak-kanak ini juga kurang memerlukan analgesik berbanding dengan mereka yang menerima sekatan palsu. Kanak-kanak yang menerima sekatan saraf infraorbital juga mengalami kurang rasa sakit dan boleh makan lebih awal berbanding dengan mereka yang menerima suntikan (intravena) analgesik. Sekatan saraf tidak mengubah kadar jantung, kadar pernafasan dan tekanan darah. Lima daripada lapan kajian tidak menjumpai apa-apa kesan sampingan yang tidak diingini selepas sekatan saraf; tiga kajian selebihnya tidak melaporkan kesan sampingan.

Kualiti bukti kajian

Kualiti bukti keseluruhan adalah rendah atau sangat rendah kerana bilangan kecil kanak-kanak yang terlibat dan perbezaan-perbezaan di antara kajian (kepelbagaian) dari sudut jenis intervensi, masa pemerhatian dan cara ukuran dan penjelasan hasil. Penyelidikan lanjut adalah perlu dengan bilangan lebih ramai kanak-kanak.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal).Disunting oleh Tan May Loong (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini, sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information
Share/Save