Penambahan folat dalam kalangan orang dengan penyakit sel sabit

Soalan ulasan

Kami ingin menilai keberkesanan dan keselamatan penambahan folat (folat yang wujud secara semulajadi dalam makanan, yang disediakan sebagai makanan yang diperkaya atau penambahan tambahan seperti tablet) dalam kalangan orang dengan penyakit sel sabit (SCD).

Latar belakang

SCD adalah kumpulan gangguan-gangguan yang mempengaruhi hemoglobin (molekul dalam sel darah merah yang menyampaikan oksigen kepada sel-sel seluruh badan), yang membawa kepada sel darah merah terherot berbentuk sabit. Ia dicirikan oleh anemia (darah tidak dapat membawa cukup oksigen di sekeliling badan), jangkitan berulang dan episod-episod sakit. Walaupun SCD pada asalnya dijumpai di kawasan tropika dan subtropika, akibat migrasi, ia kini lazim di seluruh dunia. Terdapat tiga langkah pencegahan yang diguna secara meluas untuk menguruskan SCD, termasuklah penisilin, imunisasi terhadap jangkitan pneumokokus dan penambahan folat. Folat adalah vitamin B larut air yang diperlukan untuk eritropoiesis (proses yang menghasilkan sel darah merah). Memandangkan terdapat peningkatan eritropoiesis dalam kalangan orang dengan SCD, adalah difikirkan mereka mungkin perlu meningkatkan pengambilan folat tambahan atau melalui diet. Walau bagaimanapun, kekurangan penyelidikan berasaskan bukti bermakna masih tidak jelas sama ada manfaat penambahan folat melebihi risiko kemungkinan kesan buruk.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga: 17 November 2017.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan satu kajian dengan 117 kanak-kanak dengan SCD berusia antara enam bulan dan empat tahun. Ini adalah kajian buta duaan setahun (kedua-dua peserta dan doktor tidak tahu kumpulan rawatan yang mana peserta diperuntukkan) membandingkan kanak-kanak yang mengambil penambahan asid folik kepada mereka yang mengambil plasebo (rawatan 'dummy').

Keputusan utama

Penyiasat kajian melaporkan penambahan asid folik menyebabkan paras asid folik lebih tinggi diukur dalam darah. Walau bagaimanapun, tiada perbezaan dalam kepekatan hemoglobin pada akhir satu tahun.

Kajian juga melaporkan faktor-faktor klinikal yang dikaitkan dengan rawatan, termasuk pertumbuhan, jangkitan utama dan minor, pensekuesteran splenik akut, episod sakit tulang atau sakit perut. Para penyiasat melaporkan tiada perbezaan dalam hasil-hasil ini dari garis dasar hingga akhir kajian; walau bagaimanapun, kajian-kajian tersebut adalah tidak cukup besar untuk mengesan sebarang kemungkinan perbezaan yang dilaporkan di antara kumpulan asid folik dan kumpulan plasebo.

Kualiti bukti

Dalam kajian yang disertakan, adalah tidak jelas cara para peserta diperuntukkan untuk menerima asid folik atau plasebo. Kaedah untuk memastikan peserta dan kakitangan kajian tidak tahu apa rawatan yang diterima oleh setiap orang (dikenali sebagai penyembunyian peruntukan) juga tidak diterangkan. Kedua-dua faktor ini bermakna kajian tersebut berisiko tinggi untuk keputusan yang bias.

Kajian tidak mengandungi ramai peserta. Bagi kebanyakan titik akhir klinikal, ia tidak direka bentuk untuk menunjukkan perbezaan antara orang yang mengambil asid folik dan mereka yang mengambil plasebo. Ini bermakna keputusan kajian ini adalah tidak tepat, oleh itu sukar untuk ditafsir.

Akhir sekali, ulasan kami bertujuan untuk menyiasat penambahan folat (folat yang wujud secara semulajadi dalam makanan, disediakan sebagai makanan yang diperkaya atau penambahan tambahan seperti tablet) dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa. Oleh kerana kami hanya mengenal pasti satu kajian yang menyiasat satu bentuk penambahan dalam kalangan kanak-kanak, keputusan-keputusannya tidak berguna untuk populasi lain.

Oleh itu, kami menilai bukti dari kajian yang dimasukkan ini sebagai berkualiti rendah. Berdasarkan kepada hanya satu kajian yang berkualiti rendah dengan bukti hanya untuk menunjukkan bahawa penambahan folat meningkatkan paras asid folik darah, kami tidak dapat menyatakan sama ada rawatan ini berkesan atau tidak.

Lebih banyak kajian dengan lebih ramai orang dan tempoh rawatan yang lebih panjang (dan tempoh susulan) penambahan folat dalam kalangan orang dengan SCD diperlukan untuk memperkuat ulasan ini; walau bagaimanapun, kami tidak menjangkakan intervensi kajian lanjutan akan dijalankan, dan oleh itu ulasan ini tidak lagi akan dikemas kini secara regular.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save