Kesan perfusi litar paru-paru semasa pembedahan jantung terbuka dalam kalangan orang dewasa

Soalan ulasan

Semasa pembedahan jantung terbuka, mesin jantung-paru-paru mengambil alih sementara fungsi jantung dan paru-paru. Semasa edaran ekstrakorporeum (ECC), hanya litar sistemik yang diperfusi dengan darah beroksigen tanpa bekalan darah ke paru-paru. Ulasan sistematik ini menilai kesan-kesan yang bermanfaat dan mudarat peredaran tambahan litar pulmonari dengan darah atau larutan pengawetan berbanding tiada bekalan darah ke paru-paru semasa ECC dalam kalangan orang dewasa yang menjalani pembedahan jantung terbuka. Kami melaporkan bilangan kematian, kejadian buruk yang serius, dan kejadian pulmonari (untuk ulasan ini, ventilasi mekanikal dan pengoksigenan selepas pembedahan).

Latar belakang

Komplikasi pulmonari sering dilihat selepas pembedahan jantung terbuka dengan ECC apabila perfusi paru-paru tidak cukup menyebabkan kekurangan pengoksigenan tisu. Kajian terdahulu telah menunjukkan kesimpulan yang berlainan sama ada perfusi tambahan litar pulmonari semasa ECC dapat menurunkan atau meningkatkan risiko kematian, kejadian buruk yang serius, dan peristiwa pulmonari. Ulasan sistematik ini mengikuti kaedah Cochrane untuk ulasan sistematik bagi mengakses bukti daripada kajian rawak terk awal(RCT).

Kami mengenal pasti empat RCT (210 peserta) yang melaporkan risiko kematian dan masa ventilasi mekanikal. Tiga kajian melaporkan kejadian buruk dan pengoksigenan selepas pembedahan. Semua kajian dijalankan tanpa pembiayaan langsung industri. Bilangan peserta dalam setiap kajian adalah dari 30 hingga 89. Purata umur peserta adalah 59 tahun (julat 37 hingga 70 tahun), dan 65% adalah wanita. Jenis pembedahan termasuklah pintasan graf arteri koronari dan pembedahan penggantian injap. Hanya satu kajian merangkumi intervensi perfusi pulmonari dengan larutan pengawetan. Oleh itu, dalam versi ulasan ini, kami hanya melaporkan hasil intervensi perfusi pulmonari dengan darah berbanding tiada perfusi semasa ECC.

Keputusan utama

Perfusi pulmonari dengan darah semasa pintasan kardiopulmonari tidak dikaitkan dengan peningkatan risiko kematian atau kejadian buruk yang serius dan masa ventilasi mekanikal. Hasil kajian tidak membuktikan bahawa nilai pengoksigenan yang lebih tinggi selepas pembedahan adalah bermanfaat atau memudaratkan perfusi pulmonari dengan darah semasa ECC.

Kualiti dan kuantiti bukti

Hanya satu daripada kajian-kajian yang dimasukkan berisiko bias rendah (kecuali bagi pembutaan personel semasa prosedur pembedahan). Kajian-kajian merawak 210 peserta, dan bilangan peserta yang diperlukan untuk mengesan atau menolak pengurangan nisbah risiko 100% kematian tidak tercapai; oleh itu hasil pemerhatian adalah tidak pasti. Secara keseluruhan, kualiti bukti adalah rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save