Rawatan farmakologi (ubat) untuk penyakit Buerger

Latar belakang

Penyakit Buerger dicirikan oleh keradangan progresif berulang dan pembekuan pada arteri kecil dan sederhana dan vena tangan dan kaki. Puncanya tidak diketahui, tetapi paling kerap berlaku pada lelaki yang mempunyai sejarah penggunaan tembakau. Ia bertanggungjawab menyebabkan ulser dan kesakitan yang melampau di dalam anggota badan perokok muda. Dalam kebanyakan kes, terutamanya pada pesakit dengan jenis yang paling parah, tiada kemungkinan untuk memperbaiki keadaan dengan pembedahan dan oleh itu, ubat (agen farmakologi) digunakan. Ini boleh jadi agen farmakologi, seperti cilostazol, clopidogrel, dan pentoxifylline, atau ubat derivatif prostacyclin dan prostaglandin, yang mengarah aliran darah dan memperbaiki peredaran darah di kawasan yang terjejas, dan mungkin membantu menyembuhkan ulser dan melegakan kesakitan rehat. Ulasan ini menilai keberkesanan agen farmakologi dalam rawatan untuk pesakit dengan penyakit Buerger.

Keputusan utama

Pencarian kami mengenal pasti lima kajian rawak terkawal (RCTs), dengan jumlah 602 peserta dan tempoh rawatan sekitar empat minggu (bukti terkini sehingga 15 Oktober 2019). Perbandingan termasuk analog prostacyclin berbanding plasebo, aspirin, dan analog prostaglandin, dan asid folik berbanding plasebo. Kami tidak mengenal pasti kajian yang menilai agen farmakologi seperti cilostazol, clopidogrel dan pentoxifylline, atau kajian yang membandingkan prostanoid oral berbanding prostanoid yang diberi secara intravena (diberikan ke dalam vena melalui suntikan atau infus). Kajian-kajian yang disertakan menilai derivatif prostacyclin dan prostaglandin, yang mempunyai kebolehan untuk mengarah aliran darah dan memperbaiki peredaran darah di dalam bahagian yang terjejas.

Bukti berkepastian sederhana dari satu kajian mencadangkan iloprost intravena berkesan dalam menyembuhkan ulser melegakan kesakitan rehat selepas 28 hari rawatan apabila dibandingkan dengan aspirin oral, tetapi tiada perbezaan yang jelas ditemui dalam kadar amputasi. Bukti dari dua kajian mencadangkan prostacyclin berkesan sama seperti analog prostaglandin dalam menyembuhkan ulser (bukti kepastian sangat rendah) dan menghilangkan sakit semasa rehat (bukti kepastian rendah), tetapi kadar amputasi tidak dinilaikan. Bukti kepastian sederhana dari satu kajian mencadangkan bahawa tiada perbezaan yang jelas di antara plasebo dan iloprost analog prostacyclin oral (200 mcg dan 400 mcg) dalam penyembuhan ulser iskemik atau menghilangkan sakit semasa rehat selepas lapan minggu dan enam bulan, dan kadar amputasi selepas enam bulan. Bukti berkepastian sangat rendah dari satu kajian menunjukkan tiada perbezaan yang jelas di antara plasebo dan asid folik, dalam pesakit dengan penyakit Buerger dan hyperhomocysteinaemia (keadaan perubatan dicirikan oleh tahap homosistein tidak normal di dalam darah), dalam kadar amputasi dan skor kesakitan. Penyembuhan ulser tidak diukur. Kesan-kesan sampingan rawatan, seperti sakit kepala atau loya, tidak menyebabkan gangguan rawatan atau akibat yang lebih serius. Hasil seperti kelangsungan hidup bebas amputasi, jarak berjalan kaki atau jarak berjalan kaki tanpa kesakitan, dan indeks buku lali brakium tidak dinilaikan oleh sebarang kajian.

Kepastian tentang bukti

Secara keseluruhan, kepastian bukti adalah sangat rendah hingga sederhana. Kami menurunkan taraf kepastian bukti kerana jumlah kajian yang kecil, jumlah peserta yang kecil, variasi keterukan penyakit dalam peserta di antara kajian, dan maklumat yang tertinggal (contohnya maklumat dasar pendedahan tembakau). RCTs yang direka dengan lebih baik yang lebih lanjut menilai keberkesanan agen farmakologi (intravena atau oral) pada orang dengan penyakit Buerger adalah diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney) Disunting oleh Teh Keng Hwang (UniSHAMS). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information