Intervensi untuk pengendalian ulser oral dalam penyakit Behcet.

Soalan ulasan

Ulasan ini bertujuan menilai kesan pelbagai intervensi yang diberi secara sistemik atau topikal untuk mencegah atau merawat ulser oral dalam orang yang mengalami penyakit Behcet. Intevensi boleh dibandingkan dengan intervensi alternatif, tiada intervensi atau pemberian plasebo.

Latarbelakang

Penyakit Behcet adalah penyakit kronik dengan banyak tanda dan gejala termasuk ulser oral atau genital, lesi kulit dan keradangan vaskular dalam sistem saraf tunjang dan saluran gastrousus.Walaupun penyebab asal penyakit Behcet masih belum diketahui, ia dikaitkan dengan pendorongan genetik bersama faktor persekitaran.

Penyakit Behcet lazim terlihat pada dekad ketiga kehidupan. Penyakit ini jarang terjadi dalam indiviudu berumur 50 tahun ke atas dan dalam kanak-kanak.Walaupun kedua-dua jantina boleh terlibat sama, penyakit ini lebih teruk dalam kalangan lelaki.

Ulser oral yang terjadi dalam penyakit Behcet mungkin sakit atau lambat sembuh. Paling teruk, ia akan menyukarkan makan dan minum.

Ciri-ciri kajian

Penulis Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane membuat ulasan ke atas kajian sedia ada dan bukti adalah terkini sehingga 4 Oktober 2013. Ulasan ini termasuk 15 kajian terbitan dari 1980 hingga 2012 melibatkan 888 peserta secara rawak.Sebelas kajian dijalankan di Turki, dua di Jepun dan satu di UK.Tiga belas intervensi berlainan yang diberi secara sistemik dan topikal telah dinilai.

Intervensi topikal: sukralfat, interferon-alfa (pelbagai dos), siklosporin A, salap triamsinolon asetonid, sirup kumur mulut fenitoin.

Intervensi sistemik: asiklovir, talidomid (pelbagai dos), kortikosteroid, rebamipid, etanersep, kolcisin, interferon-alfa, siklosporin.

Keputusan utama

Tiada cukup bukti untuk menyokong atau menafikan penggunaan sebarang intervensi tersebut untuk tujuan sakit, jangkamasa episod atau kekerapan episod ulser oral atau keselamatan intervensi.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah sederhana ke sangat rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal).Disunting oleh Tan May Loong,(Penang Medical College) Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini, sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information
Share/Save