Suplemen asid lemak poli tak tepu untuk epilepsi tahan ubat

Latar Belakang

Kira-kira 25% hingga 30% daripada semua orang dengan epilepsi terus mengalami sawan walaupun mengambil dua atau lebih ubat pada dos yang mencukupi. Keadaan ini dipanggil epilepsi tahan ubat atau refraktori. Pelbagai rawatan, termasuk penggunaan vitamin dan suplemen lain, sedang diuji untuk melihat sama ada ia boleh membantu meningkatkan kawalan sawan dalam kumpulan ini.

Kaedah

Kami telah mencari kajian yang menguji kesan suplemen dengan asid lemak tak tepu (PUFAs) berbanding plasebo dalam rawatan sawan pada orang dengan epilepsi tahan ubat, sebagai tambahan kepada ubat antiepileptik rutin mereka.

Keputusan utama

Kami mengenal pasti hanya tiga kajian rawak terkawal yang melibatkan 155 orang secara keseluruhan (85 orang dewasa dan 70 kanak-kanak). Dua daripada kajian ini hanya melibatkan orang dewasa dan dijalankan di negara yang lebih maju (AS dan UK), manakala kajian ketiga hanya melibatkan kanak-kanak dan dijalankan di Mesir. Dalam kajian yang hanya melibatkan kanak-kanak, selepas 12 minggu rawatan, terdapat lebih ramai kanak-kanak yang bebas sawan dalam kumpulan yang menerima PUFAs berbanding kumpulan yang menerima plasebo (pil yang tidak mengandungi bahan aktif). Begitu juga, bahagian kanak-kanak yang mengalami pengurangan 50% dalam bilangan sawan adalah lebih tinggi dalam kumpulan yang menerima PUFAs berbanding kumpulan yang menerima plasebo. Kedua-dua kajian yang melibatkan orang dewasa tidak menganggarkan bilangan peserta yang bebas daripada sawan selepas rawatan. Analisis daripada dua kajian yang melibatkan orang dewasa tidak menunjukkan perbezaan dalam bahagian peserta yang mengalami pengurangan 50% dalam bilangan sawan (bukti berkualiti rendah), kekerapan purata sawan, kualiti hidup atau kesan sampingan, berbanding mereka yang menerima plasebo.

Kesimpulan

Bukti yang ada, yang terdiri daripada hanya tiga kajian kecil, tidak mencukupi untuk menyokong penggunaan supplemen tambahan PUFA sebagai tambahan kepada ubat antiepileptik rutin untuk meningkatkan kawalan sawan atau kualiti hidup pada orang dengan epilepsi tahan ubat.

Bukti adalah terkini setakat 5 November 2015.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.

Tools
Information