Terapi penggantian tiroksin untuk wanita subsubur dengan penyakit tiroid autoimun atau tiroid kurang aktif yang ringan

Soalan ulasan

Adakah penambahan hormon tiroksin (levothyroixine) memperbaiki hasil kesuburan selepas persenyawaan in vitro (rawatan kesuburan di mana telur digabung dengan sperma di luar tubuh) atau suntikan sperma intrasitoplasma (rawatan kesuburan di mana sperma disuntik terus ke dalam telur) bagi wanita dengan dianosis kehadiran antibodi tiroid (penyakit tiroid autoimun; ATD) atau tiroid kurang aktif yang ringan.

Latar belakang

Penyakit tiroid adalah penyakit hormon yang kedua lazim mempengaruhi wanita dalam umur reproduktif. Kajian menunjukkan kadar keguguran yang lebih tinggi dan kadar kesuburan yang lebih rendah dalam kalangan wanita dengan tiroid kurang aktif (berfungsi perlahan) di mana kedua-dua hormon tiroid adalahrendah dalam ujian darah. Walau bagaimanapun, terdapat sejenis kelainan penyakit tiroid yang ringan, iaitu penyakit subklinikal atau tiroid kurang aktif ringan, di mana orang tidak menunjukkan sebarang simptom dan hanya ada perbezaan kecil salah satu paras hormon tiroid apabila darah diuji. Satu lagi kelainan penyakit tiroid dipanggil ‘ATD’, dengan paras hormon tiroid yang normal, tetapi wujud antibodi tiroid. Antibodi menyerang sel-sel badan wanita tersebut, dan kewujudan antibodi tiroid dikaitkan dengan risiko keguguran yang lebih tinggi. Sehingga kini, adalah tidak jelas kesan-kesan subjenis penyakit tiroid ini terhadap kesuburan wanita dan hasil kehamilan.

Ciri-ciri kajian

Para penulis Cochrane membuat carian kesusasteraan komprehensif pangkalan data perubatan standard hingga 8 April 2019 bersama perundingan dengan Pakar Maklumat Kumpulan Ginekologi dan Kesuburan Cochrane, untuk kajian klinikal rawak (RCT: kajian klinikal di mana orang diperuntukkan secara rawak kepada satu daipada dua jenis kumpulan rawatan) yang menyiasat kesan-kesan hormon tiroid (levothyroxine) untuk wanita dengan diagnosis ATD atau tiroid kurang aktif ringan yang sedang merancang untuk menjalani eproduksi berbantu. Dua penulis secara berasingan memilih kajian-kajian, menilai, mengekstrak data dan menghubungi penulis-penulis apabila data tidak lengkap.

Kami menemui empat RCT (dengan 820 wanita) yang memenuhi keperluan kemasukan kami. Hormon-hormon tiroid diberi dalam pelbagai dos kepada wanita dengan diagnosis tiroid kurang aktif yang ringan atau kewujudan antibodi tiroid (ATD).

Keputusan-keputusan utama

Dalam kalangan wanita dengan ketidakseimbangan hormon tiroid yang ringan dan status tiroid autoimun yang tidak diketahui, kami tidak jelas sama ada penggantian tiroksin memberi kesan kepada kadar lahir hidup atau kadar keguguran (bukti berkualiti sangat rendah daripada satu kajian melibatkan 70 wanita).

Dalam kalangan wanita dengan tiroid kurang aktif yang ringan (dengan atau tanpa ATD), bukti mencadangkan penggantian tiroksin mungkin telah memperbaiki kadar lahir hidup (bukti berkualiti rendah daripada satu kajian melibatkan 64 wanita), dan ia mungkin menyebabkan kadar keguguran yang serupa (bukti berkualiti rendah dari satu kajian yang melibatkan 64 wanita). Bukti mencadangkan wanita dengan tiroid kurang aktif yang ringan (dengan atau tanpa ATD) mempunyai 25% peluang kadar lahir hidup dengan plasebo ataupun tanpa rawatan, dan 27% hingga 100% dengan tiroksin.

Dalam kalangan wanita dengan ATD atau fungsi tiroid normal, rawatan dengan penggantian tiroksin berbanding plasebo ataupun tanpa rawatan mungkin memberi kadar lahir hidup yang serupa (bukti berkualiti rendah daripada dua kajian melibatkan 686 wanita) dan kadar keguguran serupa (bukti berkualiti rendah daripada dua kajian melibatkan 686 wanita). Bukti mencadangkan wanita dengan ATD dan fungsi tiroid normal mempunyai peluang 31% lahir hidup dengan plasebo atau tanpa rawatan, dan 26% hingga 40% dengan tiroksin.

Kesan-kesan sampingan jarang dilaporkan. Satu kajian melaporkan tiada dari 32 kelahiran pramasa dalam kumpulan penggantian tiroksin dan satu daripada 32 kelahiran pramasa dalam kumpulan kawalan, dalam kalangan wanita dengan diagnosis tiroid kurang aktif ringan (dengan ataupun tanpa ATD). Satu kajian melaporkan 21 daripada 300 kelahiran pramasa dalam kumpulan penggantian tiroksin dan 19 daripada 300 kelahiran pramasa dalam kumpulan kawalan, dalam kalangan wanita dengan ATD atau fungsi tiroid normal. Tiada kajian melaporkan komplikasi kehamilan maternal, komplikasi janin atau kesan sampingan tiroksin.

Kualiti bukti

Bukti adalah berkualiti sangat rendah hingga rendah. Kami telah menurunkan gred bukti kerana ia berdasarkan kajian-kajian tunggal yang kecil dengan kepelbagaian keputusan yang meluas.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Denise Chai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi denisechai@ms.pmc.edu.my

Tools
Information
Share/Save