Antidepresan untuk rawatan kemurungan bagi orang yang menghidap kanser

Isu utama
Kemurungan kerap berlaku pada mereka yang mengidap kanser. Biasanya simptom-simptom kemurungan adalah tindakbalas semulajadi ataupun kesan lansung terhadap penyakit yang serius dan mengancam nyawa. Oleh itu, agak sukar bagi menentukan bilakah simptom-simptom kemurungan ini menjadi satu masalah yang sebenar yang perlu dirawat dengan ubat-ubatan. Bukti daripada penerbitan saintifik semasa mendedahkan bahawa simptom kemurungan, walaupun ringan, boleh mempunyai kesan yang relevan terhadap kanser, mengurangkan keseluruhan kualiti hidup pesakit dan menjejaskan pematuhan mereka terhadap rawatan anti-kanser, serta mungkin meningkatkan kemungkinan kematian.

Matlamat ulasan
Oleh yang demikian, penilaian terhadap manafaat ubat antidepresan kepada orang dewasa (berumur 18 tahun atau ke atas) yang menghidap kanser adalah penting. Tujuan ulasan ini adalah untuk menilai keberkesanan dan penerimaan penggunaan antidepresan bagi merawat simptom-simptom kemurungan kepada mereka yang menghidap apa-apa jenis kanser dan pada semua peringkat kanser.

Apakah penemuan-penemuan utama?
Kami telah membuat ulasan secara sistematik ke atas sepuluh kajian yang menilai keberkesanan antidepresan, yang melibatkan 885 peserta. Bukti-bukti ini terkini sehingga 3 Julai 2017. Disebabkan oleh jumlah bilangan pesakit yang kecil dalam kajian-kajian tersebut, dan dengan isu bagaimana kajian-kajian tersebut melaporkan apa yang telah dilakukan, terdapat ketidakpastian ke atas sama ada antidepresan adalah lebih baik daripada plasebo bagi mengurangkan simptom-simptom kemurungan selepas 6 hingga 12 minggu tempoh rawatan. Kami tidak mempunyai bukti yang cukup untuk menentukan adakah antidepresan diterima sama baik seperti plasebo. Keputusan kami juga tidak menunjukkan sama ada terdapat antidepresan tertentu yang lebih baik manafaat atau lebih buruk mudarat dibandingkan sesama mereka. Bagi mencadangkan amalan klinikal yang lebih baik, kami memerlukan kajian besar secara rawak yang membahagikan pesakit secara rawak untuk mendapat rawatan yang berbeza. Pada masa ini, kami tidak boleh membuat kesimpulan yang kukuh tentang kesan antidepresan bagi merawat kemurungan dikalangan penghidap kanser.

Kepastian bukti
Kepastian bukti adalah sangat rendah kerana kekurangan maklumat tentang cara rekaan kajian, bilangan peserta yang sedikit dalam analisa keputusan, dan perbezaan ciri-ciri diantara kajian-kajian dan keputusan yang diperolehi.

Apakah kesimpulannya?
Meskipun penhidap kanser sangat terkesan dengan masalah kemurungan, kajian yang ada adalah sangat sedikit dan berkualiti rendah. Ulasan ini mendapati bukti kepastian yang sangat rendah tentang manafaat pengunaan ubat-ubat ini berbanding plasebo.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information