Rawatan untuk keletihan yang melampau dan kekurangan tenaga (keletihan) dalam penyakit sklerosis lateral amiotrofik/motor neuron

Soalan ulasan

Apakah kesan rawatan keletihan pada orang yang hidup dengan sklerosis lateral amiotrofik (ALS) berbanding dengan tiada rawatan atau plasebo?

Latar belakang

ALS, yang juga dikenali sebagai penyakit motor neuron (MND), adalah keadaan di mana saraf yang mengawal gerakan berhenti bekerja. Orang mengalami masalah menggerakkan anggota badan mereka, mengekalkan postur, menelan, dan pernafasan, yang menjadi lebih teruk mengikut masa dan memendekkan hayat. Puncanya tidak diketahui, dan tiada penawar. Orang yang hidup dengan ALS/MND sering mengalami keletihan, yang boleh menyebabkan kesusahan dan mengurangkan kualiti hidup. Keletihan mempunyai banyak sebab, termasuk masalah pernafasan, ubat-ubatan, kekurangan zat makanan, dan kemurungan. Fokus kami dalam kajian ini adalah mengenai rawatan untuk keletihan yang timbul dari keadaan itu sendiri. Rawatan yang berbeza boleh memperbaiki gejala keletihan dalam ALS/MND. Ini termasuk ubat-ubatan, yang boleh membantu orang berasa lebih terjaga, dan rawatan lain seperti senaman. Tidak jelas sama ada mana-mana rawatan ini berkesan untuk meningkatkan keletihan dalam ALS/MND. Kami mengulas kajian yang ada mengenai kesan rawatan untuk keletihan dalam ALS/MND.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini termasuk empat kajian kecil dengan sejumlah 86 peserta. Setiap kajian menyiasat rawatan yang berbeza. Ini adalah rawatan ubat (modafinil) berbanding dengan plasebo, senaman pernafasan berbanding senaman pernafasan palsu (tidak aktif), senaman dengan berat berbanding dengan penjagaan biasa, dan rangsangan otak magnetik berbanding dengan rTMS palsu.

Keputusan utama dan kualiti bukti

Kami tidak pasti tentang kesan modafinil, senaman pernafasan, senaman dengan berat, atau stimulasi otak magnet pada keletihan pada pesakit ALS/MND, kerana kualiti bukti yang sangat rendah. Ia sering tidak jelas sama ada kajian telah dirancang dan dilakukan secara mencukupi, kerana laporan kajian sering kekurangan butiran. Keputusan kajian-kajian kecil ini adalah tidak tepat. Tiga peserta berhenti mengambil modafinil kerana kesan sampingan: sakit kepala dalam dua, dan sesak dada dalam satu; Peserta juga melaporkan kecemasan, loya, pening, dan sialorrhoea (ketidakupayaan untuk mengawal rembesan mulut). Kami memerlukan lebih banyak kajian mengenai rawatan yang berkesan untuk keletihan dalam ALS/MND.

Carian adalah terkini sehingga September 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Sharifah Halimah Jaafar (Regency Specialist Hosp Sdn Bhd, JB). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com

Tools
Information