Menggantikan pembilasan heparin dengan pembilasan garam untuk mengelakkan komplikasi pada kateter vena pusat jangka panjang pada kanak-kanak

Latar belakang

Kateter vena pusat (CVC) adalah tiub panjang dan nipis yang fleksibel, ianyan dimasukkan ke dalam vena pusat yang besar. Ini memberi laluan kepada aliran darah bagi mereka yang mempunyai keadaan perubatan yang serius untuk menerima ubat dan cecair, juga bagi pengambilan spesimen darah. CVC jangka panjang dipasang pada kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan yang kompleks seperti barah untuk memberi laluan masuk kepada salur darah. Larutan heparin selalunya digunakan bagi mencegah kateter daripada tersumbat. Heparin, adalah ubat cecair yang mencegah pembentukan gumpalan darah, digunakan untuk membilas kateter. Walau bagaimanapun, beberapa kajian menunjukkan bahawa cecair heparin tidak diperlukan bagi tujuan di atas, dan larutan garam biasa (larutan air garam steril) boleh digunakan dengan selamat. Heparin mungkin dikaitkan dengan komplikasi, seperti pendarahan dan jangkitan, bersama dengan kos yang lebih tinggi untuk penyedia perkhidmatan kesihatan. Walaupun komplikasi seperti jangkitan dan oklusi tidak biasa, praktiknya berbeza-beza di seluruh dunia dan terdapat banyak ketidakkonsistenan mengenai penyelesaian pembilasan terbaik untuk digunakan untuk mencegah komplikasi pada kateter jangka panjang.

Ciri-ciri kajian dan keputusan utama

Ulasan ini merangkumi percubaan terkawal secara rawak (kajian klinikal di mana orang secara rawak ditugaskan ke salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang membandingkan penggunaan garam dan heparin untuk mencegah penyumbatan, dan komplikasi lain yang berkaitan dengan kateter jangka panjang. Bukti terkini sehingga 9 April 2019. Dua pengarang kajian secara bersendirian mengkaji kajian-kajian yang dipilih. Kami menyertakan empat kajian dengan jumlah 255 peserta dalam ulasan ini. Keempat-empat percubaan itu semua dilakukan di hospital pengajaran yang besar (tertiari), dan membandingkan secara langsung penggunaan air garam dan heparin. Walau bagaimanapun, kajian ini berbeza dalam cara mereka membandingkan garam dan heparin, dengan kepekatan heparin yang berlainan dan bilangan pembilasan yang berbeza dilaporkan. Kami dapat menggabungkan hasil dua kajian: analisa menunjukkan keputusan yang tidak tepat bagi penyumbatan kateter dan jangkitan aliran darah untuk saline normal berbanding heparin. Satu kajian melaporkan tempoh masa bagi kateter berada di dalam salur darah adalah sama di antara kedua lengan kajian.

Kepastian bukti

Kepastian keseluruhan bukti adalah diantara sederhana hingga sangat rendah. Terdapat risiko berat sebelah yang tinggi untuk ‘blinding’, ini kerana terdapat perbezaan antara kaedah kajian dan intervensi, hasil yang tidak konsisten antara kajian, dan tidak semua kajian melaporkan semua hasil yang dikaji. Kami mendapati tidak ada bukti yang cukup kuat untuk menentukan sama ada, larutan garam atau heparin yang lebih berkesan bagi mengurangkan komplikasi. Penyelidikan lebih lanjut diperlukan dan kemungkinan kajian lanjut ini akan memberi maklumat yang penting kepada perkara ini. Ulasan ini adalah kemas kini ulasan yang pertama kali diterbitkan pada tahun 2015.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information