Alemtuzumab, sejenis antibodi monoklonal manusiawi, berkemungkinan menjadi rawatan alternatif kepada interferon beta 1a bagi pesakit RRMS

Latar belakang

Multiple sklerosis adalah penyakit progresif sistem saraf pusat di mana tubuh badan pesakit memusnahkan lapisan yang berfungsi melindungi saraf. Penyakit ini boleh masuk dalam fasa remisi (di mana simptom-simptom akan berkurang atau berhenti) dan kemudiannya kambuh (di mana simptom-simptom kembali). Ini dikenali sebagai remisi-kambuh sklerosis berbilang (RRMS). Ubat-ubatan iaitu antibodi monoklonal (seperti alemtuzumab) berkemungkinan menjadi imunoterapi alternatif (rawatan untuk merangsang sistem imun) kepada rawatan interferon beta (salah satu rawatan biasa) bagi pesakit RRMS. Dalam ulasan ini, kami bertujuan membandingkan faedah, kesan-kesan sampingan dan keselamatan alemtuzumab dengan interferon beta 1a bagi merawat pesakit mengidap RRMS.

Ciri-ciri kajian

Kami melaksanakan pencarian dalam pelbagai pangkalan data perubatan dan menemui tiga kajian yang melibatkan 1694 peserta (CAMMS223, CARE-MS I dan CARE-MS II). CAMMS223 melibatkan pesakit RRMS peringkat awal yang sebelumnya tidak dirawat. Para peserta menerima sama ada interferon beta 1a (menggunakan dos 44 μg) secara subkutanus (bawah kulit) tiga kali seminggu atau alemtuzumab (menggunakan dos 12 mg sehari atau 24 mg sehari) secara intravena (dalam vena) selama 36 bulan. CARE-MS I melibatkan orang dewasa berumur 18 hingga 50 tahun yang mempunyai RRMS yang sebelumnya tidak dirawat. Para peserta menerima alemtuzumab intravena tahunan atau interferon beta 1a secara subkutanus tiga kali seminggu selama 24 bulan. CARE-MS II melibatkan orang dewasa berumur 18 hingga 55 tahun yang mempunyai RRMS dan kambuh sekurang-kurangnya sekali semasa menerima rawatan interferon beta atau glatiramer (ubat lain yang mengubah tindak balas imun). Para peserta menerima interferon beta 1a bawah kulit dengan dos 44 μg tiga kali seminggu, alemtuzumab secara intravena 12 mg sehari setiap tahun atau alemtuzumab secara intravena 24 mg sehari selama 24 bulan. Bukti ini adalah terkini sehingga 1 Februari 2017.

Hasil-hasil utama kajian

Ulasan kajian mendapati bahawa, berbanding interferon beta 1a secara subkutanus tiga kali seminggu, alemtuzumab secara intravena setiap tahun berkemungkinan mengurangkan jumlah peserta yang mengalami kambuh, kemerosotan ketidakupayaan dan perkembangan lesi T2 pada MRI. Dalam satu kajian, 24 mg alemtuzumab memberi skor EDSS yang lebih baik berbanding interferon beta 1a.

Kadar peristiwa-peristiwa buruk adalah hampir sama bagi kedua-dua rawatan. Peristiwa-peristiwa buruk yang paling kerap dilaporkan untuk kedua-dua rawatan adalah reaksi berkaitan dengan infusi, jangkitan dan kejadian autoimun. Pengunaan alemtuzumab memerlukan pemantauan teliti supaya peristiwa yang berpotensi menjadi serius dapat dirawat lebih awal dan efektif.

Kualiti bukti kajian

Secara keseluruhannya, kualiti bukti yang diperoleh bagi setiap dapatan kajian adalah rendah kecuali bagi peserta yang pernah mengalami kambuh sekurang-kurangnya sekali, yang mana kualiti buktinya adalah sederhana.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Chiam Kai Ning (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information