Berapa tepatkah ujian ABeta42 untuk membezakan penyakit Alzheimer dari demensia jenis lain dalam kalangan pesakit yang dilihat di klinik pakar?

Mengapakah memperbaik diagnosis demensia penting?

Demensia adalah keadaan yang dicirikan oleh masalah progresif ingatan dan pemikiran. Demensia boleh disebabkan beberapa keadaan yang berbeza (contohnya, oleh penyakit Alzheimer), dan rawatan terbaik bergantung kepada penyebabnya. Paras protein ABeta42 dalam cecair darah atau spina mungkin dapat menentukan penyebab demensia. Ini dapat membantu doktor memilih rawatan yang terbaik.

Apakah matlamat ulasan ini?

Matlamat ulasan ini adalah untuk mengetahui berapa tepat paras ABeta42 dalam cecair darah atau spina dalam menentukan penyebab demensia.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Kami menyertakan kajian-kajian yang meneliti paras ABeta42 yang diambil dari sampel cecair darah atau spina. Pada masa ini, ujian ini hanya digunakan di klinik pakar. Paras ABeta42 mungkin lebih rendah dalam kalangan orang dengan demensia Alzheimer berbanding demensia jenis lain.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami menyertakan 39 kajian dengan sejumlah 5000 peserta. Semua kajian menggunakan ujian cecair spina ABeta42. Tiada kajian yang disertakan menggunakan ujian darah ABeta42.

Secara teori, keputusan kajian-kajian ini menunjukkan jika ABeta42 digunakan di klinik pakar dalam sekumpulan 1000 orang, yang mana 520 (52%) ada demensia Alzheimer, dianggarkan 602 akan mendapat keputusan ABeta42. Ini menunjukkan kehadiran demensia Alzheimer. Dari jumlah ini, 192 (32%) akan salah diklasifikasi sebagai berpenyakit Alzheimer. Daripada 398 orang dengan keputusan yang menunjukkan tiada penyakit Alzheimer, 110 (28%) akan salah diklasifikasi sebagai tidak berpenyakit Alzheimer. Kajian-kajian yang disertakan menggunakan pelbagai paras ABeta42 untuk membuat diagnosis penyakit Alzheimer, dan ketepatan ujian itu bergantung kepada paras ABeta42 yang digunakan.

Sejauh manakah keputusan kajian-kajian dalam ulasan ini boleh dipercaya?

Dalam kebanyakan kajian yang disertakan, diagnosis demensia Alzheimer dibuat dengan menilai semua peserta dengan kriteria diagnostik standard. Ini mungkin merupakan kaedah boleh percaya untuk menentukan sama ada pesakit benar-benar ada penyakit Alzheimer. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa masalah dengan pelakasaan kajian-kajian. Ini mungkin menyebabkan ABeta42 dilihat lebih tepat daripada yang sebenarnya.

Kepada siapakah keputusan-keputusan ulasan ini diaplikasi?

Keputusan-keputusan ini diaplikasi kepada pesakit-pesakit yang menjalani penilaian demensia di persekitaran pakar.

Apakah implikasi ulasan ini?

Mengukur paras ABeta42 dalam cecair spina mungkin membantu membezakan penyakit Alzheimer daripada demensia jenis lain, tetapi ujian ini tidak sempurna. ABeta42 tidak mungkin diguna secara berasingan untuk membuat diagnosis, dan mungkin mempunyai nilai terbaik apabila diguna sebagai tambahan kepada penilaian dan ujian lain untuk mendiagnos demensia.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Para penulis ulasan mencari dan menyertakan kajian-kajian yang diterbitkan sehingga Februari 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save