Cyclophosphamide untuk penyakit paru-paru interstisial yang berkaitan dengan penyakit tisu penghubung

Latar belakang

Orang dengan penyakit tisu penghubung seperti arthitis rheumatoid dan sklerosis sistemik boleh mendapat sekumpulan penyakit paru-paru yang dikenali sebagai penyakit paru-paru interstisial. Ini boleh mempengaruhi pernafasan dan kualiti hidup, dan boleh membawa kepada jangka hayat yang berkurangan. Ubat yang dipanggil cyclophosphamide berguna untuk merawat penyakit lain, tetapi ia mempunyai kesan sampingan.


Soalan ulasan

Kami ingin mengetahui jika cyclophosphamide membantu memelihara fungsi paru-paru dalam kalangan orang dengan penyakit paru-paru interstisial akibat penyakit tisu penghubung. Kami juga ingin melihat sama ada ubat tersebut menyebabkan kesan sampingan, dan jika ia membantu meningkatkan kualiti hidup, tempoh hayat, pernafasan, dan keupayaan untuk bersenam.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kajian sehingga Mei 2017, dan memasukkan empat kajian yang melibatkan sejumlah 495 orang dengan penyakit paru-paru interstisial akibat penyakit tisu penghubung. Sesetengah orang diberi cyclophosphamide, dan yang lain diberi ubat lain atau plasebo. Kami membandingkan pelbagai kumpulan untuk mencari perbezaan-perbezaan.


Penemuan utama

Kami mendapati beberapa bukt berkualiti rendah yang menunjukkan manfaat kecil menggunakan cyclophosphamide berbanding plasebo dari segi fungsi paru-paru dan gejala-gejala sesak nafas. Bukti tidak jelas menunjukkan bahawa orang yang mengambil cyclophosphamide mempunyai fungsi paru-paru yang lebih baik daripada orang yang mengambil ubat lain (mycophenolate mofetil). Sesetengah orang mengalami kiraan darah yang rendah, darah dalam air kencing, dan loya.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti menggunakan salah satu gred berikut: sangat rendah, rendah, sederhana, atau tinggi. Pengadaran bukti yang sangat rendah bermakna kita tidak pasti tentang keputusannya. Pengadaran bukti yang berkualiti tinggi bermakna kita sangat pasti mengenai keputusannya. Untuk ulasan Cochrane ini, kami mendapati kualiti bukti yang rendah. Kami memasukkan kajian rawak terkawal dibutakan, yang bermaksud bahawa peserta dan mereka yang menilai keputusan kajian tidak tahu sama ada peserta telah cyclophosphamide atau plasebo. Walau bagaimanapun, kebanyakan kajian memasukkan orang dengan skelrosis sistemik, oleh itu keputusan ini tidak boleh diaplikasi kepada semua orang dengan penyakit paru-paru interstisial dengan penyakit tisu penghubung.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save