Intervensi yang membantu membuat keputusan bersama antara doktor perubatan primer dengan pesakit tentang penggunaan antibiotik untuk rawatan jangkitan pernafasan akut

Persoalan ulasan
Kami ingin melihat sama ada membuat keputusan bersama adalah lebih baik atau lebih teruk daripada penjagaan biasa dalam mengurangkan preskripsi antibiotik untuk jangkitan pernafasan akut dalam penjagaan primer.

Latar belakang
Membuat keputusan bersama membolehkan keputusan kesihatan dibuat secara bersama oleh doktor dan pesakit. Pembuatan keputusan berlaku selepas pilihan dan faedah dan bahayanya telah dibincangkan bersama dengan nilai dan keutamaan pesakit.

Jangkitan pernafasan akut (seperti batuk akut, jangkitan telinga tengah atau sakit tekak) adalah salah satu sebab yang paling biasa untuk berjumpa profesional kesihatan, dan antibiotik lazimnya ditetapkan walaupun terdapat bukti kukuh bahawa ia mempunyai sedikit manfaat untuk keadaan ini. Sebarang keputusan untuk menetapkan antibiotik harus diimbangi dengan sebarang faedah terhadap risiko bahaya biasa (seperti ruam dan sakit perut) dan sumbangan kepada rintangan antibiotik - kini merupakan ancaman besar kepada kesihatan manusia.

Pengambilan keputusan bersama memberikan peluang yang terbaik pada peringkat rawatan primer untuk membolehkan pertimbangan yang lebih mendalam tentang pertukartambahan antara manfaat dan bahaya antibiotik untuk penyakit pernafasan akut. Penetapan antibiotik mungkin berkurangan akibatnya.

Ciri-ciri kajian
Kami telah mengenal pasti 10 kajian (sembilan kajian serta satu kajian susulan) setakat Disember 2014. Secara keseluruhannya, kajian-kajian itu melibatkan lebih daripada 1100 doktor perubatan primer dan sekitar 492,000 orang pesakit. Intervensi adalah berbeza dalam setiap satu kajian. Enam kajian melibatkan pemberian latihan klinikal k(ebanyakannya doktor penjagaan primer) dari segi kemahiran komunikasi yang diperlukan untuk mempermudah proses pengambilan keputusan bersama. Dalam tiga kajian, selain daripada melatih doktor dalam kemahiran komunikasi, pesakit juga diberikan maklumat bertulis tentang peranan antibiotik dalam rawatan jangkitan pernafasan akut. Semua kajian tersebut menerima pembiayaan daripada dana kerajaan. Tiada kajian yang mengisytiharkan konflik kepentingan.

Hasil utama
Intervensi yang bertujuan untuk memudahkan pengambilan keputusan bersama dengan ketara mengurangkan preskripsi antibiotik untuk jangkitan pernafasan akut dalam penjagaan primer, tanpa penurunan kepuasan pesakit dengan perundingan, atau peningkatan dalam perundingan ulangan untuk penyakit yang sama. Tidak ada maklumat yang mencukupi untuk memutuskan sama ada pengambilan keputusan yang bersama memberi kesan kepada hasil sampingan klinikal yang lain, ukuran penglibatan doktor dan pesakit dalam perkongsian membuat keputusan, atau rintangan antibiotik.

Kualiti bukti
Kami menilai kualiti bukti sebagai sederhana atau rendah untuk semua hasil.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information