Teknik pembedahan satu insisi berbanding dua insisi untuk rekonstruksi ligamen anterior cruciate dalam kalangan dewasa

Latar belakang

Ligamen anterior cruciate (ACL) adalah kumpulan tisu yang kuat di dalam lutut yang membantu menstabilkan lutut semasa pergerakan. Ruptur pada ACL adalah kecederaan lazim semasa beberapa aktiviti sukan, seperti bola sepak dan ski. Kecederaan ligamen anterior cruciate sering dirawat melalui pembedahan. Ini biasanya melibatkan rekonstruksi lubang kunci ACL (arthroskopik), di mana ACL yang koyak digantikan oleh sekeping tendon (graf). Graf ini biasanya diekstrak dari tempat lain berhampiran lutut pesakit yang terlibat. Dalam rekonstruksi ACL, terowong tulang digerudi di lutut ke dalam tulang tibia (tulang kering) dan femur (tulang paha) untuk meletakkan graf ACL di kedudukan yang hampir sama dengan ACL yang koyak.

Ulasan ini membandingkan dua teknik rekonstruksi ACL: satu insisi berbanding dua insisi. Teknik dua insisi yang lebih lazim melibatkan penggerudian terowong femoral (dari tulang peha) dari luar ke dalam sendi lutut dengan insisi dibuat di bahagian luar peha untuk sampai ke tulang. Dalam teknik satu insisi, tiada insisi (kedua) di peha. Sebaliknya, graf itu dilekatkan kepada femur dari dalam ke luar sendi melalui bimbingan arthroskopik.

Keputusan carian

Kami mencari pangkalan data kesusasteraan perubatan sehingga Ogos 2017 untuk kajian rawak yang membandingkan satu insisi berbanding teknik rekonstruksi ACL arthroskopik dua insisi. Kami memasukkan lima kajian yang melibatkan 320 orang yang menjalani rekonstruksi ACL dengan graf tendon patella. Kebanyakan peserta kajian berusia 20an.

Keputusan utama

Kami mendapati tiada perbezaan di antara kedua-dua teknik dalam fungsi lutut yang dilaporkan pada tiga bulan, 12 bulan, atau antara dua dan lima tahun. Tiada data untuk kualiti hidup atau jumlah keseluruhan peserta yang mengalami peristiwa buruk. Walau bagaimanapun, kami mendapati sedikit bukti perbezaan di antara kumpulan-kumpulan dalam peristiwa buruk individu seperti jangkitan, kekakuan lutut, dan kegagalan graf. Terdapat bukti sedikit perbezaan di antara kedua-dua kumpulan dalam tahap aktiviti akhir atau bilangan peserta dengan fungsi lutut normal atau hampir normal yang dinilai oleh doktor pada satu atau lebih, selepas pembedahan.

Kualiti bukti

Kesemua lima kajian mempunyai kelemahan yang boleh mempengaruhi kebolehpercayaan keputusan-keputusannya. Kami menganggap bukti tersebut adalah berkualiti sangat rendah, yang bermaksud kami tidak pasti akan keputusannya.

Kesimpulan

Kekurangan bukti boleh percaya bermakna kami tidak pasti sama ada teknik ACL satu insisi dengan bantuan arthroskopik adalah lebih baik (atau lebih buruk) daripada teknik dua insisi. Kajian lanjut mungkin membantu menjawab soalan ini tetapi mungkin tidak menjadi keutamaan semasa.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information