Antibiotik untuk merawat jangkitan genital dalam kalangan lelaki dan wanita yang tidak hamil

Soalan ulasan

Ulasan sistematik ini menilai keberkesanan dan keselamatan rawatan antibiotik untuk jangkitan genital Chlamydia trachomatis (CT) dari segi kegagalan mikrobiologi atau klinikal dalam kalangan lelaki dan wanita yang tidak hamil.

Latar belakang

CT adalah penyebab paling kerap bagi jangkitan saluran urinari dan genital dalam kalangan wanita dan lelaki. Walau bagaimanapun, wanita sering tidak menunjukkan gejala apabila mereka dijangkiti. Jangkitan CT boleh membawa kepada komplikasi atau menyebabkan masalah lebih lanjut dalam kesihatan reproduktif wanita (kemandulan, penyakit keradangan pelvis, sakit pelvis kronik), dan lelaki (prostatitis (bengkak kelenjar prostat), atau sakit pelvis kronik. Garis panduan klinikal untuk merawat CT tidak mengesyorkan rawatan antibiotik pilihan. Ulasan Cochrane ini menilai semua kajian rawak terkawal (di mana pesakit diberikan salah satu rawatan secara rawak), termasuk antibiotik bagi rawatan jangkitan genital CT yang disyorkan oleh kebanyakan garis panduan klinikal terkini.

Carian tarikh

Kami mencari kajian yang diterbitkan sehingga Jun 2018 yang menyediakan maklumat tentang kegagalan untuk membasmi jangkitan CT atau memperbaiki gejala, kewujudan peristiwa buruk, rintangan antimikrob, dan jangkitan semula, sebagai hasil rawatan.

Ciri-ciri kajian

Kami memilih 14 kajian dengan sejumlah 2715 lelaki dan wanita yang tidak hamil dengan jangkitan CT, yang telah dirawat dengan sebarang antibiotik yang disyorkan oleh garis panduan klinikal (2147 (79.08%) lelaki dan 568 (20.92%) wanita). Wanita tidak menunjukkan gejala atau mengalami servisitis rahim, dan lelaki mengalami uretritis bukan gonokokal (keradangan uretra bukan disebabkan oleh jangkitan gonorea). Kesemua peserta adalah positif ujian CT. Kajian-kajian tersebut berlangsung selama 7 hingga 84 hari selepas tamat rawatan, dengan purata 28 hari. Kebanyakan kajian dilaksanakan di klinik-klinik penyakit transmisi seksual di USA. Kajian-kajian tersebut membandingkan antibiotik doxycycline dengan azithromycin, dan doxycycline dengan ofloxacin.

Sumber pembiayaan kajian

Satu kajian melaporkan pembiayaan dari geran akademik, empat kajian lagi menyatakan menerima tajaan atau geran dari syarikat-syarikat farmaseutikal. Kajian yang selebihnya menyatakan pembiayaan sendiri atau tidak menyatakan pembiayaan.

Keputusan utama (statistik)

Kami manghasilkan metaanalisis (kaedah menggabungkan keputusan kajian-kajian), untuk dua perbandingan: 1 g dos tunggal azithromycin berbanding 100 mg doxycycline dua kali sehari selama tujuh hari, dan 100 mg doxycycline dua kali sehari selama tujuh hari berbanding 300 mg ke 400 mg ofloxacin sekali sehari atau dua kali sehari selama tujuh hari.

Kami mendapati kegagalan mikrobiologi kurang cenderung terjadi dalam kalangan lelaki yang dirawat dengan doxycycline berbanding lelaki yang diberi azithromycin, dan kurang peristiwa buruk (kesan sampingan) dalam kalangan lelaki dan wanita yang diberi azithromycin. Tiada perbezaan dalam kegagalan klinikal bagi wanita atau lelaki dalam kumpulan doxycycline berbanding azithromycin mahupun doxycycline berbanding ofloxacin. Ini bermakna dengan bukti sedia ada, doxycycline menjadi pilihan pertama bagi rawatan untuk lelaki dengan uretritis. Bagi wanita yang tidak hamil dengan jangkitan CT tiada kelebihan dengan sebarang antibiotik yang disertakan. Walau bagaimanapun, klinisian boleh mempertimbangkan dos tunggal azithromycin sebagai suatu pilihan, kerana ia mengakibatkan kurang peristiwa buruk.

Kualiti bukti

Kajian-kajian yang disertakan mengguna kaedah yang lemah yang bermakna keputusannya adalah bias (silap menyokong satu ubat berbanding ubat lain). Ini bermakna bukti yang mereka sediakan bagi kegagalan mikrobiologi dalam kalangan lelaki, dan peristiwa buruk dalam kalangan lelaki dan wanita apabila azithromycin dibandingkan dengan doxycycline adalah berkualiti sederhana, dan bagi semua hasil apabila doxycycline dibandingkan dengan ofloxacin, kami berpendapat ia berkualiti rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information