Rawatan gabungan dengan analog GnRH dan terapi tambah-balik untuk wanita dengan fibroid rahim

Soalan ulasan

Fibroid rahim boleh dikecilkan melalui analog hormon pelepasan gonadotrofin (GnRH) tetapi biasanya menyebabkan rasa hangat. Gabungan GnRHa dengan ubat lain mungkin mengurangkan rasa hangat (strategi yang dipanggil terapi tambah-balik) tetapi menyebabkan masalah yang lain seperti ketumpatan mineral tulang yang rendah. Keberkesanan dan keselamatan pendekatan ini adalah kontroversi.

Latar belakang

Fibroid rahim adalah tumor yang tidak merbahaya yang timbul dari dinding rahim. Walaupun kebanyakannya tidak menunjukkan gejala, wanita dengan gejala berkaitan mungkin memerlukan rawatan. Pilihan perubatan untuk merawat keadaan tersebut adalah terhad dan, anataranya, terdapat jenis ubatan yang dipanggil analog GnRH yang dianggap berkesanan untuk mengecilkan saiz tumor dan untuk mengawal gejala seperti pendarahan rahim dan tekanan pelvis. Namun, ubat jenis ini adalah terhad disebabkan kesan-kesan buruknya, terutamanya peningkatan berlakunya rasa hangat dan penurunan jisim tulang. Oleh itu, rawatan jangka panjang biasanya tidak digalakkan.

Ciri-ciri kajian

Pada Jun 2014, penulis Cochrane telah melaksanakan pencarian berkomputer dari penulisan perubatan untuk mencari semua kajian yang relevan dengan subjek ini, dalam apa-apa bahasa. Kami menemui 14 kajian terkawal rawak yang sesuai. Kami menganalisakan data, menilaikannya untuk kualiti kaedah dan ketepatan hasil mereka, dan menghubungi para penulisnya untuk mendapatkan maklumat tambahan serta menjelaskan apa-apa keraguan tentang maklumat tersebut.

Keputusan-keputusan utama

Kualiti hidup

Bukti daripada 110 wanita mencadangkan bahawa tibolone mungkin mempunyai manfaat yang sangat kecil hingga manfaat besar dari segi kualiti hidup apabila dibandingkan dengan penggunaan analog GnRH sahaja. Tiada bukti bahawa raloxifene mempunyai kesan terhadap kualiti hidup (data daripada 74 wanita). Kesan ejen tambah-balik yang lain terhadap kualiti hidup belum lagi dikaji.

Jisim tulang

Bukti daripada 91 wanita mencadangkan bahawa raloxifene mungkin ada manfaat yang sederhana hingga tinggi untuk memelihara jisim tulang apabila digunakan sehingga enam bulan, manakala tibolone mungkin mempunyai kesan kecil hingga sederhana untuk pemeliharaan jisim tulang, berdasarkan data daripada 160 wanita. Estriol (dikaji dalam 12 wanita) dan ipriflavone (dikaji dalam 95 wanita) mungkin mempunyai kesan besar dalam mengurangkan kehilangan jisim tulang berkaitan dengan penggunaan analog GnRH. Kesan medroxyprogesterone (MPA) terhadap jisim tulang adalah tidak pasti.

Gejala-gejala vasomotor

Tibolone mungkin ada kesan besar dalam mengurangkan gejala vasomotor (data daripada 268 wanita) apabila dibandingkan dengan pengunaan analog GnRH tanpa terapi tambah-balik. MPA juga mungkin mengurangkan gejala-gejala vasomotor (840 hingga 137 kurang wanita dengan gejala vasomotor untuk setiap 1000 wanita, data daripada 16 wanita).

Kesan buruk

Tibolone mungkin menyebabkan saiz rahim yang lebih besar (meningkat dari 8 cm3 ke 39 cm3. data daripada 365 wanita) dan peningkatan pendarahan (data tidak dikumpulkan tetapi dikaji dalam 310 pesakit). MPA juga mungkin menyebabkan peningkatan saiz rahim (dari 77 cm 3 ke 606 cm3, data daripada 32 wanita). Estrogen berkonjugat mungkin juga menghasilkan saiz rahim yang lebih besar (data daripada 27 wanita).

Secara amnya, bukti mengenai subjek tersebut adalah berkualiti rendah dan kualiti kajian yang lebih tinggi adalah diperlukan bagi mencapai kesimpulan yang lebih kukuh.

Kualiti bukti

Kualiti bukti berkisar antara sangat rendah hingga sederhana dan had utama adalah risiko bias dalam kajian utama dan ketidaktepatan anggaran. Untuk kualiti hidup, bukti adalah berkualiti rendah bagi kedua-dua tibolone dan raloxifene. Untuk jisim tulang, bukti adalah berkualiti sederhana bagi tibolone dan berkualiti rendah bagi semua rawatan lain yang dikaji.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Denise Chai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi denisechai@ms.pmc.edu.my

Tools
Information
Share/Save