Intervensi untuk merawat sista tulang mudah di tulang-tulang panjang kanak-kanak.

Sista tulang mudah (sista tulang sekamar atau tunggal) merupakan jenis keabnormalan tulang (lesi) bukan kanser (benigna) paling lazim dalam kalangan kanak-kanak yang sedang membesar. Sista-sista menyebabkan korteks tulang (bahagian luaran tulang yang keras) menjadi nipis, dan boleh mengakibatkan fraktur patologi (kepatahan yang berlaku tanpa banyak trauma terhadap satu-satu bahagian tulang yang lemah). Fraktur-fraktur sebegini kadangkala boleh menyebabkan pemendekan atau kecacatan. Matlamat utama dalam rawatan sista tulang mudah adalah untuk mengurangkan risiko kepatahan patologi, membantu penyembuhan sista dan menghentikan sakit. Terdapat beberapa kaedah rawatan sedia ada tetapi tiada persetujuan mengenai kaedah yang terbaik. Oleh itu, kami telah menjalankan sorotan yang teliti tentang bukti-bukti sedia ada berkenaan dengan kaedah-kaedah rawatan sista tulang mudah dalam tulang panjang kanak-kanak untuk melihat sama ada kami mampu mengenal pasti kaedah yang terbaik. Ini merupakan versi kemaskini bagi sorotan asal terbitan 2014.

Kami mencari beberapa pangkalan data perubatan yang penting pada April 2016, serta daftar kajian, prosiding persidangan, dan senarai rujukan. Kami cuma menemukan satu kajian perubatan yang berkaitan, di mana peserta-peserta kanak-kanak diagihkan secara rawak untuk rawatan yang berbeza. Kajian tersebut membandingkan rawatan di mana sista tulang mudah telah disuntik dengan sumsum tulang atau steroid (metilprednisolon asetat). Sembilan puluh kanak-kanak dengan purata umur 9.5 tahun telah menyertai kajian ini.

Keputusan diperolehi daripada 77 kanak-kanak. Dua tahun selepas rawatan, pemeriksaan sinar-X menunjukkan kejayaan penyembuhan sista tulang lebih kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang menerima suntikan steroid; namun, kami tidak pasti sama ada ini adalah dapatan yang sebenar. Bukti berkualiti rendah menunjukkan bahawa dua tahun selepas menerima rawatan, kanak-kanak dalam kedua-dua kumpulan rawatan mempunyai tahap fungsi yang sama tinggi (diukur melalui skor Skala Aktiviti bagi Kanak-kanak) dan tahap kesakitan yang rendah (diukur melalui skor Oucher). Terdapat bukti berkualiti sangat rendah bahawa tidak terdapat perbezaan dari segi kesan buruk di antara kedua-dua intervensi, termasuklah fraktur patologi pasca-rawatan. Oleh kerana kualiti bukti adalah rendah, atau sangat rendah, kami tidak boleh membuat keputusan muktamad bahawa tidak terdapat perbezaan antara rawatan, dan kami tidak tahu sama ada salah satu rawatan tersebut memberi hasil yang lebih baik dan komplikasi yang kurang.

Sorotan ini berdasarkan satu kajian dengan bilangan peserta yang kecil. Justeru, buat masa kini, tiada cukup bukti untuk menentukan kaedah terbaik bagi merawat sista tulang mudah di tulang-tulang panjang kanak-kanak. Lebih kajian melibatkan bilangan peserta yang lebih ramai dan yang memantau kanak-kanak untuk jangkamasa susulan yang lebih panjang diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Wing (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi jame5wtan93@gmail.com

Tools
Information
Share/Save