Terapi laser untuk retinopati penyakit sel sabit

Soalan ulasan
Sejauh manakah keberkesanan pelbagai teknik-teknik fotopembekuan laser dalam retinopati yang berkaitan dengan penyakit sel sabit (pembangunan komplikasi yang mengancam penglihatan disebabkan oleh pertumbuhan saluran darah yang berlebihan di bahagian belakang mata)?

Latar belakang
Penyakit sel sabit adalah satu gangguan genetik yang menjejaskan banyak organ termasuklah mata. Bahagian belakang mata (retina) boleh mendapat masalah akibat penyakit sel sabit. Sebilangan penghidap penyakit sel sabit mengalami komplikasi penglihatan terancam disebabkan oleh pertumbuhan saluran darah yang berlebihan dalam retina yang dikenali sebagai retinopati proliferatif sabit. Terapi laser digunakan untuk mengawal pertumbuhan salur darah baru di mata terjejas. Terdapat pelbagai jenis dan teknik laser yang digunakan dalam rawatan. Walau bagaimanapun, kami tidak tahu sama ada pelbagai rawatan laser ini menawarkan sebarang kelebihan berbanding dengan tanpa rawatan atau intervensi lain dari segi keberkesanan dan keselamatan.

Tarikh pencarian
Bukti adalah terkini sehingga: 26 Jun 2022.

Ciri-ciri kajian
Kami sertakan tiga kajian rawak (414 mata, 399 peserta), membandingkan rawatan laser tanpa intervensi. Terdapat 160 lelaki dan 179 perempuan dalam lingkungan umur 13 hingga 67 tahun. Kajian menggunakan pelbagai jenis rawatan laser. Satu kajian menggunakan laser pada retina berhampiran saluran darah baru (rawatan laser serakan sektor) menggunakan laser argon. Satu lagi laser yang digunakan terus ke saluran darah penyuap (pembekuan laser saluran penyuap) menggunakan sama ada arka xenon atau laser argon. Kajian ketiga menggunakan fotopembekuan laser penyebaran fokus dengan laser argon. Peserta diikuti selama purata 21 hingga 48 bulan.

Keputusan utama
Terdapat bukti kepastian rendah hingga sangat rendah tentang kesan penggunaan terapi laser pada penghidap retinopati yang berkaitan dengan penyakit sel sabit. Dalam satu kajian, kesan terapi laser untuk menghentikan perkembangan saluran darah baru dan pembangunan luka-luka yang baru pula tidak banyak menunjukkan perbezaan antara kumpulan (bukti kepastian yang sangat rendah). Daripada bukti yang didapati, kami tidak pasti sama ada terapi laser boleh menghalang kehilangan penglihatan (bukti kepastian yang sangat rendah), tetapi ia mungkin menghalang komplikasi yang mengancam penglihatan (bukti kepastian rendah). Kajian tidak melaporkan hasil penting pesakit, seperti kualiti hidup.

Bukti daripada tiga kajian menunjukkan bahawa keselamatan rawatan laser boleh diterima (sedikit kesan buruk), terutamanya rawatan laser taburan menggunakan laser argon. Walaupun laser arc xenon dikaitkan dengan bilangan komplikasi yang lebih tinggi, kehilangan penglihatan adalah tidak biasa. Walau bagaimanapun, memandangkan terdapat beberapa kajian dengan bukti kepastian yang agak rendah, keputusan harus dibaca dengan berhati-hati. Penyelidikan lanjutan diperlukan untuk mengkaji keselamatan terapi laser berbanding dengan intervensi lain. Kajian juga harus mengukur hasil penting pesakit (seperti kualiti hidup dan kehilangan lesen memandu) serta keberkesanan kos.

Kepastian bukti
Kami fikir terdapat risiko berat sebelah disebabkan oleh cara peserta dipilih untuk kumpulan dalam dua ujian, terutamanya kerana rawatan mungkin diperlukan untuk kedua-dua mata. Kami fikir terdapat risiko berat sebelah dalam satu kajian yang hanya membentangkan beberapa keputusan untuk salah satu daripada dua kumpulan rawatan; dan kami berpendapat kajian ketiga mempunyai risiko berat sebelah kerana ia tidak menyatakan dengan jelas dalam kertas bahagian Kaedah hasil yang ingin mereka laporkan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochranr@rcsiucd.edu.my

Tools
Information