Antidepresan untuk rawatan insomnia

Mengapakah ulasan ini penting?

Insomnia (kesukaran tidur atau kekal tidur) adalah biasa, lebih kurang satu daripada lima orang melaporkan masalah tidur dalam tahun sebelumnya. Insomnia boleh menyebabkan keletihan pada siang hari, keresahan, kecacatan pada siang hari dan pengurangan kualiti hidup. Ia dikaitkan dengan penambahan masalah kesihatan mental, penyalahgunaan dadah dan alkohol, dan peningkatan penggunaan perkhidmatan kesihatan. Pengurusan bergantung kepada tempoh dan ciri-ciri masalah tidur. Ia mungkin termasuk: merawat masalah medikal yang wujud; memberikan nasihat tabiat tidur dan gaya hidup (digelar ilmu kesihatan tidur); ubat dan terapi psikologi seperti terapi kelakuan kognitif (CBT, yang merupakan terapi pencakapan).

Ubat yang dipanggil hipnotik (contohnya, temazepam dan ubat ‘Z’) adalah ubat yang paling biasa digunakan untuk merawat insomnia dan dipercayai dalam membantu tidur, tetapi boleh mendatangkan masalah seperti toleransi (perlunya untuk ambil lebih banyak ubat untuk mencapai kesan sama) dan kebergantungan (masalah fizikal atau mental sekiranya ubat diberhentikan). Garis panduan mencadangkan hanya penggunaa jangka pendek untuk hipnotik (dua ke empat minggu). Namun begitu, berjuta-juta orang di seluruh dunia mengambil ubat hipnotik untuk jangka yang panjang.

Antidepresan diberikan secara meluas untuk merawat insomnia walaupun tidak dilesenkan untuk penggunaan ini, dan bukti tidak pasti tentang keberkesanannya. Ini mungkin kerana kebimbangan mengenai ubat hipnotik. Rawatan psikologi seperti CBT dipercayai boleh membantu insomnia, tetapi ketersediaannya adalah terhad. Jadi, ubat alternatif, seperti antidepresan (digunakan untuk merawat depresi) dan antihistamin (untuk merawat alahan), dicuba kadang-kadang. Pengajian bukti untuk penggunaan ubat tersebut tanpa lesen adalah penting.

Siapakah yang akan berminat dengan ulasan ini?

Orang dengan masalah tidur dan doktor mereka akan berminat dalam ulasan ini untuk memahami bukti penyelidikan dengan lebih jelas dan membolehkan pengambilan keputusan dalam penggunaan antidepresan untuk insomnia.

Apakah soalan yang cuba dijawab oleh ulasan ini?

Tujuan adalah untuk mengetahui betapa berkesan antidepresan dalam rawatan insomnia di kalangan orang dewasa, betapa selamat dan sekiranya mereka mempunyai sebarang kesan sampingan.

Kajian mana yang telah dimasukkan ke dalam ulasan ini?

Kami memasukkan kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana orang dirambangkan kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan; kajian tersebut memberikan bukti yang paling boleh diharap dan paling berkualiti tinggi) untuk orang dewasa dengan diagnosis insomnia. Orang mungkin mempunyai keadaan lain (comorbidities) sebagai tambahan kepada insomnia. Kami melibatkan sebarang dos antidepresan (tetapi bukan gabungan dengan antidepresan lain) berbanding dengan plasebo (rawatan palsu), ubat lain untuk insomnia (contohnya, benzodiazepine atau ubat ‘Z’), antidepresan yang lain, kawalan senarai menunggu atau ‘rawatan seperti biasa’.

Apakah maklumat yang kami perolehi daripada bukti ulasan ini?

Kami mengulas 23 kajian dengan 2806 peserta dengan insomnia. Secara keseluruhannya, kualiti bukti adalah rendah kerana bilangan peserta dalam kajian adalah kecil, dan masalah dengan cara kajian dijalankan dan dilaporkan. Kami lazimnya tidak dapat menggabungkan keputusan kajian individu. Bukti berkualiti rendah wujud dalam menyokong penggunaan jangka pendek (contoh, berminggu daripada berbulan) untuk sesetengah antidepresan. TIada bukti wujud untuk antidepresan amitriptyline, yang biasanya digunakan dalam praktis klinikal, atau untuk menyokong penggunaan jangka panjang antidepresan untuk insomnia. Bukti tidak menyokong praktis klinikal terkini dalam memberi antidepresan untuk rawatan insomnia.

Apa yang sepatutnya berlaku selepas ini?

Kajian berkualiti tinggi antidepresan untuk insomnia diperlukan untuk memberikan bukti lebih bagus untuk membantu praktis klinikal. Sebagai tambahan, profesional kesihatan dan pesakit patut arif tentang ketidakcukupan pada masa ini tentang bukti untuk antidepresan yang biasa diguna untuk rawatan insomnia.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khoo Jing Hern (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Chan Mei Wai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. sila hubungi khoojinghern@hotmail.com

Tools
Information
Share/Save