Latar belakang
Iskemia anggota kritikal (CLI) mempunyai ciri-ciri sakit kaki yang teruk semasa berjalan dan berehat dan luka yang sukar sembuh, yang boleh mengakibatkan kehilangan upaya dan kematian. Prosedur yang bertujuan untuk meningkatkan aliran darah ke anggota yang terjejas, yang dikenali sebagai ‘revaskularisasi’, adalah terapi piawaian emas. Bagaimanapun, rawatan revaskularisasi tidak sesuai atau gagal dalam 25% hingga 40% orang yang menghidap CLI. Oleh itu, bagi pesakit seperti ini, satu-satunya pilihan untuk melegakan kesakitan dan menghentikan jangkitan luka daripada merebak ialah dengan pemotongan anggota yang terlibat. Pesakit ini biasanya dirujuk sebagai pesakit CLI ‘tanpa pilihan’.
Terapi berasaskan sel semakin diiktiraf sebagai rawatan baru yang berkesan buat CLI. Kebanyakan data bagi pendekatan novel ini telah diperoleh dari kajian menggunakan sel pesakit sendiri, yang dikenali sebagai ‘sel autologos’. Bagaimanapun, data semasa berkenaan keberkesanan sel autologos adalah terhad kerana maklumat yang tersedia berkaitan sumber digunakan untuk mendapatkan sel ini (contohnya sumsum tulang, darah periferal), dos yang digunakan (contoh dos sel tinggi atau rendah), dan metod pemberian sel yang digunakan (contohnya suntikan sel ke dalam otot atau ke dalam saluran darah) adalah terhad. Dalam ulasan ini, kami menilai keberkesanan dan tahap keselamatan terapi berasaskan sel autologos yang diperoleh dari sumber berbeza dan disediakan sebagai rejimen rawatan yang berbeza untuk pesakit CLI ‘tanpa pilihan’.
Ciri-ciri kajian dan keputusan utama
Kami menganalisis penemuan tujuh kajian terkawal secara rawak (RCT) melibatkan 359 pesakit CLI yang didapati dalam carian kepustakaan kami, yang tekini sehingga 16 May 2018.
Kami menilai dua sumber utama rawatan stem sel, iaitu, ‘sel mononuklear susmsum tulang (BM-MNCs)’ dan ‘sel darah periferal bergerak (mPBSCs)’. Data yang menunjukkan bahawa BM-MNC atau mPBSC mengakibatkan pemotongan anggota yang terlibat dan kematian pada kadar yang sama adalah terhad. Tambahan, kedua-dua sumber sel menunjukkan bilangan pesakit yang menunjukkan penyembuhan kesakitankitan ketika rehat, penyembuhan ulser, dan parameter aliran darah pada anggota bawah seperti yang diukur melalui indeks buku lali-brachial (ABI) adalah serupa. Bagaimanapun, data daripada sebuah RCT menunjukkan implantasi mPBSC menghasilkan bacaan transkutaneus (TcO₂) yang lebih baik berbanding dengan BM-MNC. Data dari sebuah RCT menunjukkan tiada perbezaan ketara antara kadar pemotongan anggota di antara pesakit yang menerima dos sel yang tinggi dan dos rendah, dan tiada perbezaan dalam keputusan klinikal bagi pesakit yang menerima dos sel melalui intramaskular atau intra-artikular. Penulis kajian melaporkan tiada kesan buruk jangka pendek yang ketara yang dikaitkan dengan implantasi sel autologos.
Kualiti bukti
Kualiti bukti untuk semua hasil kajian berbeza tetapi kebanyakannya rendah atau sangat rendah disebabkan kekurangan dalam reka bentuk kajian dan kekurangan data untuk beberapa hasil penting. Secara keseluruhan, tiada bukti berkualiti tinggi untuk menilai kesan penggunaan sumber sel tertentu atau rejimen rawatan terapi berdasarkan sel untuk CLI dalam amalan klinikal. Kajian lanjut yang lebih besar diperlukan untuk menilai manfaat jangka panjang dan keselamatan pelbagai produk berasaskan sel bagi pesakit CLI.
Diterjemah Siti Amira Sariyathul Rusly. Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my