Eszopiclone (Lunesta) untuk kesukaran tidur

Mengapakah ulasan ini penting?

Insomnia ialah istilah perubatan untuk kesukaran tidur yang meliputi kepayahan untuk tidur, kesukaran untuk mengekalkan tidur, bangun terlalu awal atau mengalami tidur yang tidak memulihkan. Insomnia boleh dirawat dengan kaedah-kaedah yang berbeza termasuk modifikasi tingkah laku, teknik-teknik relaksasi atau ubat tidur. Eszopiclone (Lunesta) merupakan ubat tidur yang terletak dalam kelas pil tidur yang dikenali sebagai hipnotik bukan benzodiazepin.

Siapa yang akan meminati ulasan ini?

Orang yang terjejas dengan insomnia, pengamal umum, ahli profesional yang bekerja dalam perkhidmatan kesihatan dan rawatan penagihan dan pembuat dasar kesihatan.

Apakah soalan yang cuba dijawab oleh ulasan ini?

Ulasan bertujuan untuk mencari lebih banyak mengenai kesan-kesan eszopiclone yang diingini dan yang tidak diingini. Kesan-kesan yang diingini termasuk kesan serta merta eszopiclone ke atas tidur; kesan-kesan yang tidak diingini termasuk kesan-kesan sampingan, kesan ke atas kefungsian hari keesokan tetapi juga ciri-ciri ketagihan ubat tersebut.

Kajian-kajian manakah yang telah dimasukkan di dalam ulasan ini?

Ulasan merumuskan penemuan-penemuan daripada 14 kajian klinikal yang melibatkan 4732 orang, samada menerima eszopiclone atau yang kelihatan sepertinya, tetapi bahan lengai / ‘inert’ (plasebo).

Apakah maklumat yang kami dapati hasil bukti yang diperolehi dari ulasan ini?

Secara puratanya, orang yang mengambil eszopiclone jatuh tidur 12 minit lebih cepat berbanding mereka yang mengambil plasebo didapati 17 minit kurangnya terjaga ketika malam dan memperolehi sejumlah anggaran setengah jam lebih tidur daripada mereka yang berada dalam kumpulan plasebo. Sebagai kesan sampingan, eszopiclone boleh menyebabkan rasa yang tidak enak, pening, kering mulut dan keletihan ketika siang hari. Kajian klinikal tidak menemui bukti eszopiclone telah menyebabkan kemudaratan serius atau simptom-simptom ‘withdrawal’ / penarikan atau samada ianya menghasilkan ketagihan jika dihentikan dan tidak diambil selepas rawatan untuk beberapa minggu atau bulan. Walaubagaimanapun, oleh kerana kajian klinikal yang dimasukkan ke dalam ulasan ini tidak merangkumi kumpulan-kumpulan tertentu (contoh, orang-orang tua yang mempunyai masalah kognitif atau motor atau keadaan tertentu yang melibatkan pengambilan ubatan), adalah penting bagi pesakit untuk berbincang dengan doktor masing-masing yang mengetahui keadaan dan sejarah perubatan mereka.

Apa yang perlu berlaku seterusnya?

Penyelidikan di masa hadapan perlu membandingkan eszopiclone dengan ubat tidur yang lain bagi membantu pakar perubatan dan pesakit memilih opsyen rawatan yang ada dan lebih digemari. Tambahan pula, ubat-ubatan tidur yang lebih ditahani oleh individu-individu yang berumur dan individu yang mempunyai masalah alkohol atau dadah perlu dikenalpasti.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information
Share/Save