Penggunaan kapnografi dalam pesakit jabatan kecemasan yang dibius untuk prosedur

Soalan ulasan

Adakah pemantauan pengesanan karbon dioksida membantu mengurangkan komplikasi jantung, paru-paru dan saluran pernafasan untuk pesakit jabatan kecemasan yang dibius untuk prosedur yang menyakitkan?

Latar belakang

Ubat-ubatan sering digunakan untuk mengurangkan kesakitan atau kesedaran (atau kedua-duanya) untuk pesakit yang mengalami prosedur yang menyakitkan. Kadangkala, komplikasi yang melibatkan jantung, paru-paru atau saluran pernafasan (tiub pernafasan) pesakit boleh berlaku disebabkan oleh ubat-ubatan ini (cth. muntah yang disedut oleh paru-paru). Pekerja kesihatan akan memantau kadar jantung, tekanan darah, kadar pernafasan dan kandungan oksigen darah untuk membantu mencegah komplikasi.

Penggunaan kapnografi (mengukur gas karbon dioksida semasa pesakit menghembus nafas) telah dicadangkan untuk meningkatkan lagi keselamatan pesakit yang diberi ubat penenang di jabatan kecemasan. Kajian ini dilakukan untuk menentukan sama ada kapnografi menyebabkan perbezaan apabila ditambah kepada pemantauan standard.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kajian yang menggunakan pelbagai pangkalan data penyelidikan, abstrak penyelidikan persidangan, dan dengan menghubungi pakar dalam bidang tersebut. Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2016. Kami hanya mempertimbangkan kajian dengan peserta yang dibius untuk prosedur di jabatan kecemasan. Kami hanya memasukkan kajian yang membandingkan kapnografi dan pemantauan standard kepada pemantauan standard sahaja.

Hasil utama melibatkan kejadian kandungan oksigen darah rendah, tekanan darah rendah, dan muntah. Kami juga merekodkan berapa kali pekerja kesihatan terpaksa membantu pesakit bernafas dengan lebih mudah. Ini boleh bermakna tindakan mudah seperti membuka mulut kepada gerakan yang lebih serius seperti pernafasan mekanikal untuk pesakit.

Tiga kajian dengan 1272 orang, yang mengandungi bukti sederhana, telah dimasukkan dalam kajian kami.

Keputusan utama

Tiada perbezaan dalam komplikasi jantung, paru-paru atau saluran pernafasan dengan penambahan kapnografi. Apabila hanya orang dewasa dikaji, pekerja kesihatan melakukan lebih banyak gerakan untuk membantu pesakit bernafas apabila kapnografi digunakan. Ini mungkin disebabkan oleh penggera palsu.

Kualiti bukti

Tahap bukti ditentukan sebagai sederhana.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information