Oksikodon untuk sakit neuropatik dalam kalangan orang dewasa

Kesimpulan

Tidak terdapat bukti kukuh bahawa oksikodon berfungsi untuk kesakitan akibat neuropati diabetik atau neuralgia pascaherpes. Tiada kajian yang melaporkan penggunaannya dalam jenis sakit neuropatik yang lain.

Latar belakang

Sakit neuropatik adalah sakit yang berpunca daripada saraf yang rosak. Ia berbeza daripada mesej kesakitan yang dibawa melalui saraf yang sihat daripada tisu yang rosak (contohnya jatuh, luka, atau sakit sendi lutut). Sakit neuropatik sering dirawat menggunakan ubat-ubatan yang berbeza daripada ubat-ubatan yang digunakan untuk kesakitan disebabkan tisu yang tercedera, yang kerap digelar sebagai ubat penahan sakit. Contohnya, ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat kemurungan atau epilepsi (sawan) boleh menjadi sangat berkesan untuk sesetengah orang yang mengalami sakit neuropatik. Namun, kadangkala ubat penahan sakit opiod digunakan untuk merawat sakit neuropatik.

Ubat penahan sakit opioid adalah ubat-ubatan seperti morfin. Morfin berasal daripada tumbuhan, tetapi banyak opiod yang turut dihasilkan secara sintesis kimia dan bukannya diekstrak daripada tumbuhan. Oksikodon adalah opiod separa sintetik, dihasilkan daripada opiod alkaloid thebaine.

Ulasan ini adalah sebahagian daripada kemas kini ulasan terdahulu, Oksikodon untuk sakit neuropatik dan fibromyalgia di kalangan orang dewasa , yang kini telah dibahagikan kepada ulasan berasingan untuk kedua-dua kondisi tersebut. Ulasan ini hanya menumpukan kepada sakit neuropatik.

Ciri-ciri kajian

Pada Disember 2015, kami mengemas kini carian daripada ulasan Cochrane terdahulu untuk mencari kajian klinikal yang menggunakan oksikodon untuk merawat sakit neuropatik dalam kalangan orang dewasa. Kami mendapati dua kajian tambahan untuk disertakan. Ulasan terdahulu menyertakan tiga kajian yang membandingkan oksikodon dengan plasebo selama beberapa minggu, dan kajian tambahan telah menambahkan oksikodon kepada rawatan sedia ada dengan pregabalin atau gabapentin. Kebanyakan daripada 687 peserta kajian mengalami kesakitan anggota badan kerana kerosakan saraf yang disebabkan oleh diabetes.

Keputusan utama

Hanya bukti berkualiti sangat rendah yang menunjukkan bahawa oksikodon melegakan kesakitan. Berbanding dengan plasebo, sedikit orang berhenti mengambil oksikodon kerana mereka merasakan ia tidak berkesan, tetapi ramai orang yang mengalami kesan sampingan.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti untuk kedua-dua manfaat dan mudarat sebagai sangat rendah kerana bilangan kajian dan peserta yang kecil, hasil yang dilaporkan, dan kemungkinan berat sebelah daripada cara kajian dianalisa. Kualiti bukti yang sangat rendah bermakna bahawa kami amat tidak pasti dengan keputusan tersebut.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information