Adakah memberi protein telur setiap hari dan menambahnya secara perlahan membantu orang dengan alahan telur?

Latar belakang

Sehingga baru-baru ini, satu-satunya pilihan praktikal untuk orang yang mengalami alahan makanan adalah mengelakkan makanan alahan secara ketat. Adalah sukar untuk mengelakkan telur kerana ia terdapat di dalam banyak makanan. Walaupun dengan pengelakkan, kebimbangan termakan secara tidak sengaja makanan yang mengandungi telur kerana kesalahan label atau pencemaran silang adalah kebimbangan yang sentiasa ada walaupun bagi orang yang sangat berhati-hati terhadap alahan makanan. Termakan secara tidak sengaja makanan yang mengandungi telur boleh menyebabkan kejadian yang mengancam nyawa.

Imunoterapi oral adalah jenis rawatan baru untuk alergi telur, yang juga dikenali sebagai penyahpekaan oral atau vaksinasi. Rawatan melibatkan penggunaan sedikit protein telur setiap hari, yang ditambah secara beransur-ansur dari masa ke masa sehingga hidangan penuh dicapai. Kaedah ini dapat mengubah respons alahan terhadap protein telur oleh sistem imun badan, meningkatkan jumlah telur yang boleh dimakan tanpa menyebabkan tindak balas buruk.

Tarikh carian

Kami mencari sehingga Mac 2017 untuk kemas kini ini.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan 10 kajian rawak terkawal (kajian yang memperuntukkan orang secara rawak untuk menerima rawatan) yang membandingkan imunoterapi oral kepada plasebo (rawatan palsu yang tidak mengandungi telur) atau diet yang mengelakkan telur bagi orang dengan alahan telur. 10 kajian tersebut melibatkan sejumlah 439 kanak-kanak (249 dalam kumpulan imunoterapi oral (rawatan yang mengandungi telur) dan 190 dalam kumpulan kawalan (tiada telur)) yang berumur 1 tahun hingga 18 tahun.

Keputusan utama

Bukti menunjukkan merawat alahan telur dengan penambahan kecil amaun telur boleh membantu kebanyakan kanak-kanak dengan alahan telur untuk mentoleransi sebahagian hidangan telur, selagi mereka terus mengambil amaun protein telur harian. Kesan-kesan sampingan kerap dilihat semasa imunoterapi oral, tetapi adalah ringan hingga sederhana. Walau bagaimanapun, 21 daripada 249 kanak-kanak yang dirawat dengan imunoterapi oral untuk alahan telur memerlukan ubat kerana tindak balas yang serius. Kajian-kajian tersebut tidak melaporkan maklumat mengenai kualiti hidup kanak-kanak dan keluarga mereka semasa rawatan imunoterapi oral.

Kualiti bukti

Kajian-kajian melibatkan bilangan peserta yang kecil dan terdapat masalah dengan cara perlaksanaan, oleh itu kajian lanjut diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information