Topiramate untuk mencegah serangan migrain pada orang dewasa

Pelbagai ubat, yang secara kolektif disebut 'antiepileptik', digunakan untuk merawat epilepsi. Selama beberapa tahun, beberapa ubat ini juga telah digunakan untuk mencegah serangan migrain. Untuk sorotan ini, para penyelidik dalam Kolaborasi Cochrane mengulas bukti tentang kesan topiramate pada pesakit dewasa (berusia ≥ 16 tahun) dengan migrain 'episodik' (sakit kepala <15 hari setiap bulan). Mereka mengkaji kajian yang diterbitkan sehingga 15 Januari 2013 dan mendapati 17 kajian yang berkaitan. Berbanding plasebo, topiramate mengurangkan kekerapan sakit kepala migrain dengan kira-kira 1.2 sebulan (sembilan kajian, 1737 peserta). Jumlah kekerapan sakit kepala migrain pesakit berkurang kira-kira dua kali sebanyak 50% atau lebih dengan topiramate daripada dengan plasebo (sembilan kajian, 1190 peserta). Kesan sampingan yang berkaitan dengan topiramate adalah biasa tetapi secara umumnya ringan; Topiramate boleh, walau bagaimanapun, menyebabkan kecacatan kelahiran dan harus digunakan dengan berhati-hati pada wanita di usia subur. Kajian lanjut diperlukan untuk membandingkan topiramate dengan ubat aktif lain yang digunakan untuk mencegah serangan migrain.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini, sila hubungi hayatikk@usm.my

Tools
Information