Bekalan makanan tambahan untuk golongan yang tergolong dalam ketidak jaminan makanan, keterjejasan makanan dan malnutrisi

Apakah tujuan ulasan ini?

Untuk merumuskan kesan pemakanan tambahan keatas populasi yang tergolong dalam ketidak jaminan makanan, keterjejasan makanan dan malnutrisi. Penulis-penulis ulasan mendapati lapan kajian sistematik yang menilai pemakanan tambahan keatas pelbagai populasi.

Mesej-mesej utama

Di sebalik pelbagai populasi yang tergolong dalam keterjejasan makanan, program pemakanan tambahan kadangkala menunjukkan faedah yang sederhana dalam dapatan pemakanan. Dalam beberapa kajian yang mengkaji kadar mortaliti (kematian), kesannya adalah kecil atau langsung tiada, dan kebanyakan kajian hanya melihat kepada kesan jangka pendek.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Pemakanan tambahan bermaksud menyediakan makanan tambahan kepada orang atau keluarga melebihi diet mereka di rumah dan yang telah digunakan keatas populasi yang terdedah kepada ketidak jaminan makanan (akses terhad kepada makanan yang mencukupi dan berkhasiat) dan keterjejasan (termasuk wanita dan kanak-kanak kecil; hidup dengan penyakit seperti tuberkulosis, HIV, dan penyakit Alzheimer, dan orang tua) untuk meningkatkan kesihatan dan kualiti hidup mereka.

Apakah hasil utama ulasan ini?

Bukti yang dikemukakan di sini adalah terkini dan sehingga Januari 2017. Kami mendapati lapan ulasan sistematik untuk dimasukkan ke dalam ringkasan ini. Ulasan ini termasuk 95 kajian (termasuk 7940 orang dewasa, dan lebih daripada 12,595 kanak-kanak dalam beberapa kajian). Kebanyakan kajian yang disertakan berlangsung dari enam minggu hingga dua tahun, dengan hanya tiga kajian yang mengikuti orang untuk jangka masa yang lebih lama (sehingga 17 tahun). Dalam ulasan ini, terdapat pelbagai jenis makanan tambahan yang diberikan kepada kumpulan yang terdedah dalam jangka masa yang berlainan, dan sering digabungkan dengan vitamin atau mineral.

Pada waktu kehamilan, kami mendapati bahawa makanan dan protein yang seimbang (iaitu menyediakan jumlah tenaga dan nutrien yang mencukupi, dalam kes ini, protein) mungkin menurunkan kadar bayi yg lahir mati (kematian atau kehilangan bayi sebelum atau semasa bersalin), berat kelahiran bayi yang bertambah baik dan mengurangkan risiko bayi yang dilahirkan kecil daripada umur gestasi (bayi yang lebih kecil daripada yang dijangkakan). Kami perhatikan tiada manfaat jangka panjang keatas kanak-kanak dari segi pertumbuhan dan pembangunan kognitif (intelektual) (walaupun sedikit kajian melaporkan kesan jangka panjang). Suplementasi protein tinggi (kadar jumlah protein yang lebih tinggi) dikaitkan dengan risiko dan kemudaratan (peningkatan risiko bayi kecil untuk bayi usia kehamilan).

Kami mendapati bahawa kesan pemakanan tambahan terhadap pertumbuhan kanak-kanak adalah bervariasi. Pada kanak-kanak yang berumur di bawah lima tahun dari negara berpendapatan rendah dan sederhana, pemberian makanan tambahan mempunyai kesan kecil terhadap pertumbuhan anak. Kami perhatikan beberapa manfaat dari segi berat dan peningkatan ketinggian, terutamanya keatas anak-anak yang lebih muda (mereka yang berumur dua tahun ke bawah) dan mereka yang kurang berkemampuan atau kurang sihat (atau kedua-duanya). Sesetengah faedah dapat dilihat pada kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan yang sederhana dalam hal kenaikan berat badan, faktor pertumbuhan lain dan kadar pemulihan. Makanan sekolah seolah-olah membawa kepada beberapa faedah kecil di kalangan kanak-kanak sekolah (termasuk peningkatan berat badan, ketinggian, ujian kecerdasan, dan matematik dan prestasi ejaan).

Pemberian makanan tambahan pada orang dewasa yang positif HIV menyebabkan peningkatan kadar pengambilan tenaga dan protein harian serta menyebabkan peningkatan berat badan awal atau indeks jisim badan (ukuran sama ada seseorang itu mempunyai berat badan berlebihan atau kurang berat badan), atau kedua-duanya, tetapi seakan tidak menyebabkan faedah jangka panjang (walaupun sedikit kajian melaporkan kesan jangka panjang). Pada orang dewasa dengan tuberkulosis (penyakit paru-paru serius), kami mendapat manfaat kecil dari segi berat badan semasa tuberkulosis yang sedang aktif.

Dalam penyakit Alzheimer (sejenis demensia), menyediakan suplemen pemakanan harian selama tiga bulan meningkatkan hasil nutrisi (seperti berat badan dan kadar pengambilan tenaga).

Terdapat sedikit atau tiada bukti mengenai kualiti hidup rakyat, pematuhan kepada rawatan, kehadiran ke klinik atau kos program pemberian makanan tambahan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi linoby@uitm.edu.my

Tools
Information
Share/Save