Adakah ubat yang berkesan untuk merawat kemurungan yang tidak pulih dengan ubatan yang pertama digunakan?

Latar belakang

Kemurungan adalah masalah lazim yang sering dirawat dengan ubat antidepresan. Walau bagaimanapun, ramai yang tidak pulih dengan rawatan antidepresan dan mengalami 'kemurungan resistan rawatan' (TRD). Beberapa pendekatan rawatan yang berbeza boleh dicuba - seperti meningkatkan dos ubatan semasa, menambah ubat lain, atau bertukar ke antidepresan yang berbeza.

Para pengulas Cochrane meneliti bukti sedia ada untuk melihat opsyen rawatan terbaik bagi orang dengan TRD.

Tarikh carian

Pada Disember 2018, kami mencari lapan pangkalan data perubatan untuk kajian klinikal yang sesuai.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan 10 kajian rawak terkawal (RCT) dengan 2731 peserta (RCT menghasilkan bukti yang paling kukuh). Kajian-kajian ini menyiasat tiga strategi rawatan yang berbeza:

1. menukar kepada antidepresan yang berbeza,

2. menambah antidepresan kedua kepada rawatan antidepresan semasa, atau

3. menambah jenis ubat yang berbeza untuk rawatan antidepresan semasa - ubat anti-resah atau antipsikotik

Kami mendapati tiada kajian yang meningkatkan dos ubat antidepresan semasa. Sembilan daripada 10 kajian yang dimasukkan dalam ulasan ini ditaja oleh syarikat-syarikat farmaseutikal.

Keputusan-keputusan utama

Satu kajian kecil menyiasat mengubah rawatan antidepresan semasa kepada antidepresan yang berbeza (mianserin) atau menambah mianserin kepada rawatan semasa. Kami tidak pasti tentang kesan mengubah rawatan kepada mianserin terhadap simptom kemurungan atau kecenderungan keciciran dari rawatan. Orang yang menambah mianserin kepada rawatan antidepresan semasa menunjukkan kurang simpomkemurungan yang lebih sedikit, tetapi kecenderungan keciciran tidak jelas.

Menambah antidepresan mirtazapine kepada rawatan antidepresan semasa mempunyai sedikit atau tiada kesan kepada simptom kemurungan atau kecenderungan cicir dari rawatan.

Kesan menambah ubat antiresah (buspirone) kepada rawatan antidepresan sedia ada terhadap simptom kemurungan atau keciciran adalah tidak pasti. Penemuan ini berdasarkan satu kajian kecil.

Kebanyakan kajian melihat kesan menambah ubat antipsikotik (cariprazine, quetiapine, ziprasidone atau olanzapine) kepada rawatan antidepresan semasa. Ini menunjukkan menambah cariprazine menyebabkan pengurangan kecil simptom kemurungan; menambah quetiapine mengurangkan simptom kemurungan; dan menambah ziprasidone mungkin menyebabkan pengurangan kecil simptom kemurungan. Walau bagaimanapun, keputusan kami juga mencadangkan menambah ubat-ubatan ini kepada rawatan semasa mungkin meningkatkan kecenderungan keciciran dari rawatan. Alasan paling lazim untuk keciciran adalah kesan sampingan atau peristiwa buruk. Menambah olanzapine kepada rawatan sedia ada boleh mengurangkan simptom kemurungan, tetapi kesan terhadap keciciran adalah tidak pasti (penemuan berdasarkan satu kajian kecil).

Hampir semua (9/10) kajian menilai kesan rawatan dalam jangka pendek - enam atau lapan minggu selepas memulakan rawatan baru - oleh itu kesan jangka panjang kebanyakan rawatan tidak diketahui.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti sebagai tinggi, sederhana, atau rendah untuk hasil yang berbeza. Batasan utama yang dikenalpasti adalah bukti untuk kebanyakan opsyen rawatan yang disiasat datang dari hanya satu kajian, dan sesetengah kajian ini juga mempunyai segelintir peserta.

Kami menilai bukti sebagai berkualiti sangat rendah untuk:

1. berubah dari rawatan antidepresan semasa kepada antidepresan lain (mianserin);

2. menambah rawatan antidepresan semasa dengan antidepresan kedua (mianserin), atau dengan ubat antiresah (buspirone), atau dengan antipsikotik olanzapine.

Ini bermakna kami tidak pasti tentang kesan-kesan rawatan ini terhadap simptom kemurungan atau kemungkinan cicir dari rawatan.

Kami menilai kualiti bukti untuk menambah mirtazapine (antidepresan), cariprazine (antipsikotik) atau quetiapine (antipsikotik) kepada rawatan antidepresan sedia ada terhadap simptom kemurungan sebagai tinggi, bermaksud kami sangat yakin dengan kesan strategi rawatan tersebut.

Kami menilai kualiti bukti untuk menambahkan antipsikotik ziprasidone kepada rawatan antidepresan sedia ada terhadap kesan simptom kemurungan sebagai sederhana, yang bermaksud kesan sebenar mungkin berbeza daripada apa yang kami dapati, walaupun penemuan mungkin hampir.

Kami menilai kualiti bukti untuk menambah mirtazapine (antidepresan) kepada rawatan antidepresan sedia ada terhadap kecenderungan keciciran dari rawatan sebagai tinggi. Kami menilai kualiti bukti untuk menambah cariprazine, olanzapine atau ziprasidone (semua ubat antipsikotik) terhadap kecenderungan cicir sebagai sederhana.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save