Produk herba untuk kesakitan neuropatik

Latarbelakang

Kesakitan neuropatik adalah kompleks dan kerap kali menyebabkan hilang upaya dan kebanyakan pesakit mengalami kesakitan yang sederhana atau serius untuk beberapa tahun, dan ini menjejaskan kualiti kehidupan. Keadaan ini sukar untuk dirawat dan lazimnya hanya 40% hingga 60% pesakit yang berkeadaan sebegini mendapat kelegaan tidak sepenuhnya.

Kesakitan neuropatik merupakan kesakitan yang datang daripada saraf-saraf yang rosak. Ia berbeza dari mesej kesakitan yang dibawa melalui saraf yang sihat daripada tisu yang rosak (misalnya, jatuh, atau luka, atau sendi lutut haus). Kesakitan neuropatik kerap kali dirawat dengan jenis ubat yang berlainan dengan yang digunakan untuk kesakitan dari tisu yang rosak. Ubat-ubatan yang kadang-kala digunakan untuk merawat kesakitan neuropatik boleh mempunyai kesan-kesan sampingan yang merosakkan dan yang demikian pesakit kini mencuba produk-produk herba untuk membantu melegakan kesakitan.

Kami jalankan pencarian untuk kajian-kajian klinikal yang relevan dalam Mac 2018. Kami melihat kajian dalam dewasa yang mengalami kesakitan neuropatik sederhana yang mengambil beberapa jenis produk herba, sama ada dengan mengambilnya dalam diet mereka, dalam bentuk tablet, atau dengan melumurkan ke kulit untuk melegakan kesakitan. Kami juga mengumpul maklumat kesan-kesan sampingan yang mungkin terjadi daripada produk herba ini.

Ciri-ciri kajian

Kami melibatkan dua kajian dengan 128 peserta. Saiz kajian adalah antara 54 hingga 74 peserta berumur antara 21 hingga 85 tahun. Kedua-dua kajian melibatkan lelaki dan wanita. Kedua-dua kajian membandingkan ubat-ubatan herba (buah pala atau St John’s wort) kepada plasebo dan membenarkan penggunaan berterusan ubat tahan sakit. Kedua-dua kajian melaporkan kesan sampingan.

Keputusan-keputusan utama

Tiada laporan daripada peserta pengurangan 30% tahap kesakitan atau lebih dan tiada pengurangan yang dilihat dalam keseluruhan skor kesakitan sebagai tindakan kepada samada buah pala atau St John’s wort. Juga tidak ada pengurangan dalam kadar penarikan diri atau bilangan kesan-kesan sampingan antara rawatan dan plasebo.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti dari kajian-kajian menggunakan empat tahap: sangat rendah, rendah, sederhana, atau tinggi. Bukti kualiti yang sangat rendah bermakna kami sangat tidak pasti tentang keputusannya. Bukti kualiti yang tinggi bermaksud kami sangat yakin.

Hanya dua kajian kecil yang menepati kriteria carian ulasan ini. Kedua-duanya tidak memberikan bukti berkualiti tinggi untuk menilai sama ada terdapat manfaat atau bahaya. Kami berpendapat buktinya berkualiti sangat rendah. Yang demikian, keputusan-keputusan daripada kajian-kajian di dalam ulasan ini tidak dapat diyakini dan ini menghalang penghasilan kesimpulan yang bermakna. Kajian-kajian yang lebih besar dan berkualiti tinggi diperlukan untuk menilai dengan tepat jika produk-produk herba mempunyai sebarang manfaat atau mempunyai potensi bahaya bilamana digunakan untuk merawat kesakitan neuropatik dalam kalangan orang dewasa.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungicochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information