Pencegahan pembekuan darah vena untuk orang yang menerima amputasi bahagian kaki

Latar belakang

Amputasi kaki paling kerap dilakukan untuk membuang tisu mati (gangren), bisul yang menyakitkan, tumor, ataupun tisu yang tidak menerima bekalan darah yang mencukupi. Salah satu sebab yang menyebabkan kekurangan bekalan darah ialah penyempitan saluran arteri kaki, yang menyumbangkan sekitar 70% amputasi. Bagi orang yang mempunyai masalah ini, pembekuan darah lebih cenderung untuk menyebabkan masalah seperti tromboembolisme vena (VTE). Ini merangkumi dua keadaan: pembekuan darah di kaki (trombosis urat dalam (DVT)) atau pembekuan darah di arteri paru-paru (emboli paru (PE)). Risiko ini lebih tinggi dalam kalangan orang yang menerima amputasi. Terdapat dua kaedah langkah pencegahan untuk VTE: ubat atau alat pemampat. Ubat berkesan untuk mencegah VTE, tetapi juga mempunyai kesan sampingan. Stoking atau alat pemampat tidak mempunyai kesan sampingan, tetapi tidak sesuai untuk semua orang. Garis panduan semasa mengesyorkan bahawa setiap orang yang menjalani amputasi bahagian kaki harus diberi ubat untuk mencegah pembekuan darah. Walau bagaimanapun, tidak jelas kaedah mana yang terbaik untuk orang yang mengalami amputasi kaki. Ulasan ini bertujuan untuk menentukan kaedah yang terbaik.

Ciri-ciri kajian dan keputusan utama

Ulasan ini pertama kalinya diterbitkan pada tahun 2013, dan kami mencari sebarang kajian yang telah dilakukan semenjak itu (sehingga 5 November 2019). Kami tidak dapat menemui sebarang kajian baru untuk kemaskini ini. Ulasan ini mengandungi dua kajian asal dengan jumlah 288 orang peserta.

Satu kajian membandingkan dua jenis antikoagulan heparin. Kami tidak menemui bukti perbezaan antara heparin tanpa fraksi (unfractionated heparin) dan heparin dengan berat molekul rendah (low molecular weight heparin) ntuk pencegahan DVT. Tidak ada peserta yang melaporkan pendarahan. Walau bagaimanapun, dalam kajian ini para peserta dan pegawai kajian mengetahui rawatan yang telah diberikan. Ini mungkin meyebabkan keputusan yang berat sebelah. Adalah tidak jelas sama ada bias lain wujud kerana kajian itu tidak menggambarkan dengan jelas jikalau proses peruntukan rawatan dijalankan secara rawak.

Kajian kedua tidak menemukan bukti manfaat untuk heparin berbanding dengan plasebo bagi mencegah PE, sama ada amputasi berada di atas atau di bawah paras lutut. Pendarahan berlaku kurang daripada 10% setiap kumpulan rawatan, tetapi penulis kajian tidak melaporkan bilangan yang tepat. Oleh demikian, kami tidak dapat melakukan analisasi. Kajian ini tidak melaporkan kaedah yang digunakan untuk menyembunyikan bagaimana rawatan diperuntukkan. Namun demikian, kami menilainya bebas daripada sumber-sumber bias yang lain.

Ulasan ini mendapati bahawa terlalu sedikit percubaan untuk menentukan strategi yang paling berkesan bagi mencegah VTE dalam kalangan orang yang mengalami amputasi kaki. Tidak ada kajian mengenai bentuk mekanikal pencegahan VTE, seperti alat pemampat, dan oleh demikian, tiada kesimpulan yang boleh dibuat mengenai perkara ini. Kajian yang lebih baik dan berskala besar adalah diperlukan.

Kepastian bukti

Kepastian bukti yang dibekalkan oleh kajian-kajian ini sangat rendah untuk perbandingan heparin tanpa fraksi dengan heparin dengan berat molekul rendah dan rendah untuk perbandingan heparin dengan plasebo. Kami merendahkan kepastian bukti kerana sampel saiz yang kecil dan bilangan kajian yang sedikit serta ketidakpastian terhadap kaedah yang digunakan (risiko berat sebelah). Kajian yang lebih besar diperlukan untuk menentukan profilaksis tromboembolisme vena yang optima untuk orang yang menjalani amputasi besar pada bahagian kaki.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Ong Joo Howe. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information