Terapi urut bagi mencegah ulser tekanan

Apakah ulser tekanan?

Ulser tekanan (juga dikenali sebagai kudis tekanan) ialah kecederaan yang disebabkan tekanan atau geseran yang berterusan. Ulser tekanan selalunya melibatkan orang yang tidak dapat bergerak atau susah untuk menggerakkan diri sendiri, seperti orang-orang tua atau lumpuh. Ulser tekanan sering terjadi pada bahagian badan yang bertulang, seperti tumit kaki dan pinggang, serta punggung. Tekanan berpanjangan pada bahagian-bahagian ini membawa kepada peredaran darah yang lemah, diikuti kematian sel, kerosakan kulit dan pembentukan luka terbuka – iaitu ulser tekanan. Ulser tekanan mengambil masa yang lama untuk pulih – dan ada yang tidak dapat pulih – jadi, jika boleh, adalah penting untuk mencegah terjadinya ulser tekanan.

Apakah terapi urut?

Terapi urut ialah rawatan di mana bahagian-bahagian badan dimanipulasi, dipegang, digerakkan dan diletakkan tekanan. Terapi urut boleh meningkatkan jumlah darah di sesuatu bahagian, meningkatkan kelembutan tisu, mengurangkan pembengkakan disebabkan pengumpulan air (oedema), dan merangsangkan sistem imun. Beberapa kajian telah mencadangkan yang berurut boleh membantu mencegah terjadinya ulser tekanan dalam orang yang berisiko, tetapi tidak diketahui sama ada berurut betul betul berkesan.

Tujuan ulasan ini

Ulasan ini mengkaji sama ada terapi urut berkesan untuk mencegah pembentukan ulser tekanan, secara sendirian, atau sebagai sebahagian pakej rawatan. Pengarang ulasan ini ingin tahu tentang terapi urut berbanding urutan palsu (pura-pura), atau berbanding dengan penjagaan standard bagi pencegahan ulser tekanan (iaitu tilam khas, pemusingan kerap dan pengurangan tekanan ke atas pesakit yang tidak dapat bergerak).

Penemuan ulasan ini

Pengarang ulasan ini mencari kesusasteraan perubatan sehingga 8 Januari 2015, tetapi tidak dapat mengenal pasti kajian yang relevan yang mengkaji terapi urut bagi pencegahan ulser tekanan. Oleh itu, pada masa ini tidak terdapat bukti bagi menyokong atau menolak terapi urut sebagai rawatan pencegahan ulser tekanan. Terdapat keperluan terdesak untuk kajian-kajian mengkaji topik ini untuk menentukan sama ada terapi urut berkesan dan selamat.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Hanis Hamdan (Pelajar Pascasiswazah, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information